PENSYARAH PERLEKEH PELAJAR B40 DIREHATKAN DARI TUGAS

Tangkap layar AlHijrah Online 30 Mac lalu.

SHAH ALAM: Pensyarah wanita yang tular kerana memperlekeh seorang pelajar B40 yang tidak mempunyai komputer riba direhatkan daripada aktiviti mengajar mulai hari ini hingga siasatan berkenaan insiden itu selesai.

Jabatan Komunikasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat oleh Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti yang telah diadakan semalam.

“Profesor Dr Roshana Takim direhatkan daripada tugasan pengajaran mulai 1 April sehingga siasatan lengkap dilaksanakan oleh UiTM.

“Keputusan ini diambil bagi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara berkesan dan teratur.” memetik kenyataan tersebut.

Menurutnya lagi, pihak universiti memandang serius terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat sulit secara sengaja atau pun tidak yang boleh menjejaskan imej dan nama baik universiti serta menggugat keselamatan warganya.

“UiTM juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat pihak yang berkongsi hantaran yang mengelirukan,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial rakaman kelas dalam talian yang memaparkan seorang pensyarah memperlekeh penuntutnya kerana tidak mempunyai komputer riba dan mengeluarkan kata-kata yang menyinggung golongan B40.

Semalam, satu dokumen dalaman UiTM iaitu laporan kronologi siasatan berkenaan kejadian turut tersebar.

Susulan itu, UiTM membuat laporan polis selepas laporan kronologi yang disediakan universiti itu mengenai insiden pensyarah kontraknya yang dipercayai memperlekeh penuntut B40 tular di media sosial.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor dilaporkan berkata, laporan polis itu dibuat bagi melindungi mahasiswa dan kakitangannya.

“Kita bukan kongsi laporan kronologi tetapi kita hantar kepada pihak yang sepatutnya. Saya tidak tahu bagaimana kebocoran itu berlaku, apa pun kita ada polisi dan undang-undang,” katanya. —AlHijrah Online

Leave a Reply