MALAYSIA, INDONESIA SEPAKAT GUNA BAHASA MELAYU DI PERSIDANGAN ANTARABANGSA

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (berdiri, kiri) bersama Presiden Indonesia Joko Widodo (berdiri, kanan) menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai Penggajian dan Perlindungan Pekerja Migran Rumah Tangga (IDMW) Indonesia di Malaysia di Istana Merdeka sempena lawatan kerja Ismail Sabri ke Indonesia hari ini. MoU tersebut ditandatangani Menteri Sumber Manusia Malaysia Datuk Seri M. Saravanan (duduk, kiri) dan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia Ida Fauziah (duduk, kanan). — Sumber gambar: BERNAMA

JAKARTA: Malaysia dan Indonesia akan terus sama-sama memperkasakan bahasa rumpun Melayu yang berkemungkinan dijadikan sebagai Bahasa ASEAN satu hari nanti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kedua-dua negara sepakat untuk menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantara di setiap persidangan antarabangsa.

“Kita berterima kasih kepada Bapak Presiden kerana bersetuju dengan Malaysia untuk memperkasakan Bahasa Melayu yang merupakan bahasa serumpun,” kata Ismail Sabri.

Menurutnya Bahasa Melayu digunakan secara meluas di Malaysia, Indonesia, Brunei, Selatan Thailand, Kemboja dan Filipina.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Indonesia Joko Widodo selepas menyaksikan majlis permeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Istana Merdeka, di sini, hari ini.

Menyentuh isu serantau, Ismail Sabri berkata kedua-dua negara bersetuju isu Rohingya perlu diselesaikan secara dalaman oleh kerajaan Myanmar sendiri, dan menurutnya ia adalah isu besar bagi Malaysia memandangkan ketika ini terdapat 200,000 orang pelarian Myanmar Rohingya di Malaysia. —AlHijrah Online

Leave a Reply