PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT TERJATUH BAWAH LORI

PETALING JAYA: Seorang penunggang motosikal lelaki maut selepas dipercayai terlanggar tiang penghadang jalan sebelum terjatuh ke bawah lori yang sedang bergerak.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakrudin Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku di Plaza Tol Penchala dari arah Kepong ke Damansara, semalam.

Ujarnya, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.22 malam melibatkan kenderaan motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggang mangsa maut dan sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso.

“Siasatan awal mendapati lelaki warganegara tempatan berumur 21 tahun itu dipercayai terlanggar tiang penghalang lalu terjatuh ke bawah lori yang sedang bergerak selepas selesai membayar tol.

“Mangsa penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Fakrudin, mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Katanya siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca serta sebab kematian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Khairil Helmi Mohamad Isa di talian 019-3318339 bagi membantu siasatan,” katanya. – AlHijrah Online

Leave a Reply