Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

PENYELARAS KEMANUSIAAN PBB SUARAKAN KEBIMBANGAN KRISIS KEMANUSIAAN YANG SEMAKIN MEMUNCAK DI GAZA

DUNIA

PENYELARAS KEMANUSIAAN PBB SUARAKAN KEBIMBANGAN KRISIS KEMANUSIAAN YANG SEMAKIN MEMUNCAK DI GAZA

Penyelaras Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Wilayah Palestin yang Diduduki, Muhannad Hadi, pada Jumaat melahirkan kebimbangan terhadap keadaan keselamatan dan kemanusiaan yang semakin merosot di Semenanjung Gaza, dengan menyatakan bahawa orang awam terus menjadi mangsa utama konflik yang berlarutan.

Sumber Gambar: AFP

BAITULMUQADDIS: Penyelaras Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Wilayah Palestin yang Diduduki, Muhannad Hadi, pada Jumaat melahirkan kebimbangan terhadap keadaan keselamatan dan kemanusiaan yang semakin merosot di Semenanjung Gaza, dengan menyatakan bahawa orang awam terus menjadi mangsa utama konflik yang berlarutan.

Menurut Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA), Hadi menegaskan kesan buruk serangan udara terkini oleh Israel yang telah mengakibatkan banyak korban dalam kalangan orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Beliau mengecam serangan ke atas konvoi bantuan PBB yang disifatkannya sebagai tindakan tidak boleh diterima dan mengancam nyawa mereka yang sangat memerlukan.

Hadi turut menegaskan komitmen PBB untuk terus menyokong rakyat Palestin, sambil menyeru agar gencatan senjata segera dilaksanakan, bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan selamat, serta tindakan antarabangsa diambil untuk melindungi orang awam dan menangani punca utama konflik itu.

Beliau menekankan bahawa PBB sedang berusaha tanpa henti untuk menghantar bantuan penting kepada keluarga di Gaza yang kehilangan segalanya selepas serangan 14 bulan itu.

Hadi juga menyeru semua pihak agar mematuhi prinsip pembezaan, kesepadanan, dan langkah berjaga-jaga dalam setiap tindakan ketenteraan. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading