PEPERIKSAAN PENILAIAN SEKOLAH RENDAH AGAMA DIBATALKAN

SHAH ALAM: Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) yang dijadualkan pada 23 hingga 27 Ogos depan dibatalkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata JAIS akan melaksanakan kaedah pentaksiran baharu yang setara dan seimbang bagi menggantikan peperiksaan tersebut.

“Keputusan pembatalan peperiksaan PSRA dibuat, berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh fasa pertama di seluruh negara dan trend semasa penularan, peningkatan jangkitan dan jumlah kematian akibat COVID-19 di Selangor yang meningkat tinggi.

“Situasi membimbangkan dan tidak menentu, memerlukan usaha serta inisiatif JAIS bagi memastikan kesan dari fakta COVID-19 di Selangor tidak menjadi sebab yang boleh menggugat keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan pelajar, guru, petugas peperiksaan, ibu bapa seterusnya masyarakat umum.

“Pada masa sama, keputusan ini akan turut membantu usaha berterusan semua pihak melandaikan lekuk penularan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu katanya JAIS berpandangan pembelajaran formal yang tidak dapat dijalankan seperti biasa akan memberi impak yang besar terhadap kemampuan guru dan pelajar dalam menghadapi persediaan peperiksaan PSRA mengikut format dan protokol peperiksaan seperti lazimnya.

Dalam pada itu beliau memberi jaminan kaedah pentaksiran baharu yang akan dibuat nanti sesuai dengan syarat dan kriteria ditetapkan bagi pemilihan pelajar untuk ke Tingkatan 1 di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) sesi kemasukan tahun 2022. — AlHijrah Online

Leave a Reply