PERAK: AHMAD FAIZAL GAGAL PEROLEH SOKONGAN MAJORITI, IKRAR KELANCARAN PERALIHAN KUASA

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dalam usul undi percaya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini.

Usul tersebut dicadangkan oleh ADUN Pengkalan Bharu, Datuk Abdul Manap Hashim daripada Barisan Nasional, yang bertujuan untuk menentukan kewibawaan kepimpinan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar.

Daripada 59 ADUN, Ahmad Faizal hanya mendapat 10 undi yang menyokong, manakala 48 lagi membantah dan satu undi rosak seperti yang dimaklumkan oleh Speaker DUN Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

DUN Perak merangkumi 25 ADUN BN yang kesemuanya daripada UMNO, 16 DAP, Bersatu (5), Amanah (5), PKR (3), PAS (3), Gerakan dan Bebas masing-masing satu.

Dalam sesi persidangan pagi tadi, usul undi percaya Menteri Besar Perak diminta untuk dibahaskan terlebih dahulu berbanding usul lain termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 iaitu Bajet Negeri Perak.

Ini kerana isu ‘kerajaan pintu belakang’ sering ditimbulkan oleh pembangkang, katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal yang merupakan ADUN Chenderiang, menjanjikan peralihan kuasa Menteri Besar akan berjalan lancar dan penuh berhemah.

Menurutnya, beliau akur dengan keputusan usul undi percaya, dan jawatan sebagai Menteri Besar Perak akan dilepaskan serentak dengan keputusan tersebut.

Speaker DUN kemudiannya menangguhkan persidangan DUN Perak untuk dibawa kepada Rabu minggu hadapan.—AlHijrah Online

Leave a Reply