KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tampil memperjelaskan konsep persembahan khas sempena Sambutan Ma’al Hijrah 1446H yang menjadi perbincangan ramai.
Dalam perkongsian di Facebook, JAKIM memaklumkan persembahan khas dalam sambutan peringkat kebangsaan semalam memberi penekanan mengenai Tafsir Ilmi kejadian langit dan bumi yang membawa maksud tafsir yang membincangkan tentang perkara-perkara saintifik dan ilmiah di dalam metafora ayat-ayat Al-Quran.
Menurut JAKIM menyelusuri perjalanan Tafsir Ilmi merupakan perjuangan untuk memfokuskan seluruh pancaindera mengakui keagungan Ilahi berlandaskan Al-Quran.
“Konsep persembahan turut menunjukkan keindahan cakerawala yang dihiasi dengan galaksi dan sistem suria yang merupakan fenomena alam semesta yang menakjubkan.
“Sesungguhnya kewujudan ini membuktikan tanda kekuasaan dan kebijaksanaan Allah SWT sebagai Maha Pencipta,” kata JAKIM.
Menjelaskan lagi, eksplorasi itu dapat mengacu akal pada batas pengetahuan, minat dan pengalaman sebagai inspirasi untuk menjelajahi kehidupan dan meningkatkan keimananan dalam diri.
Kata JAKIM tindakan untuk mengkaji dan berfikir tentang penciptaan langit dan bumi dan proses-proses yang berkaitan dengannya tidak dapat dipisahkan daripada sains dengan menggunakan pendekatan yang saintifik, sebagaimana yang telah dilakukan oleh saintis Muslim sebelum ini.
“Al-Quran mendorong umat Islam untuk banyak mengkaji dan hal ini banyak berkait dengan penerokaan ilmu terutama dalam bidang sains tambahan pula kita berada di zaman revolusi 4.0 @ IR4.0, dengan ledakan automasi, digital dan fizikal siber kini menguasai manusia.
“Sains telah banyak memberikan sumbangan bermakna kepada peradaban manusia dan sudah tentu umat Islam merupakan peledak kepada ilmu sains moden yang berkembang hingga ke hari ini,” kata JAKIM.
Selain itu konsep persembahan turut membawa peringatan bahawa dalam penciptaan langit dan bumi, manusia adakalanya sering terlupa akan kekuasaan zat Allah S.W.T sebagai penakluk semesta.
Kealpaan manusia mengejar arus modenisasi menjadikan adakalanya menjadi manusia khilaf akan batasan akal dan hukum alam.
“Sebagai khalifah di muka bumi ini, adalah menjadi kewajiban kita untuk melestarikan alam sekitar dan menguruskan khazanah yang diamanahkan oleh Allah SWT.
“Sains dan teknologi bukanlah musuh peradaban tetapi medium keharmonian jika disantuni dengan bijaksana,” katanya.
Konsep persembahan juga menunjukkan bahawa kemajuan perlulah berlandaskan Al-Quran yang mana kemajuan yang tidak dilengkapi nilai agama akan menimbulkan kehancuran dan kemusnahan kepada alam.
Sementara itu pergerakan tari yang dipersembahkan pula adalah mengambil pengaruh dari seni mempertahankan diri seperti silat, pergerakan kemudiannya dikreasikan mengikut lirik lagu menggambarkan kejayaan. — AlHIjrah Online