PERSEPSI MAHAL, LAMBAT & SUKAR BUKAN PENGHALANG

Datuk Mohamad Nordin Ibrahim

Persepsi mengatakan bahawa Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) mahal, lambat dan sukar yang kerap dicanangkan tidak menjadi penghalang kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk terus menyantuni industri dan pengguna.

Seringkali kita mendengar paradigma lama dalam kalangan industri berkaitan permasalahan yang dihadapi di dalam proses permohonan SPHM ialah;

a) Lambat: dikatakan tempoh masa untuk memproses permohonan adalah terlalu lama hingga 3 ke 6 bulan. Isu utama di sini melibatkan kesediaan industri atau pemohon itu sendiri dalam memahami standard dan skim pensijilan yang telah dibangunkan. Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia (ISPHM) yang telah dilaksanakan mulai tahun 2017 membuktikan proses SPHM telah dapat diselesaikan dalam tempoh kurang dari 30 hari.

b) Mahal: walau pun kadar yuran SPHM yang dikenakan oleh kerajaan bagi industri mikro hanya RM100 setahun, namun kedengaran industri yang membelanjakan sehingga puluhan ribu ringgit. Ini adalah disebabkan sikap pengusaha atau pemohon yang menggunakan khidmat orang tengah yang mengenakan caj yang agak tinggi.

c) Susah : ianya kembali kepada sikap pengusaha yang ingin mengambil jalan mudah tanpa mahu membuat penambah baikan di dalam proses pengeluaran produk agar ianya menepati konsep halalan toyyiban.

Namun begitu, JAKIM telah, sedang dan akan terus mengambil pelbagai inisiatif bagi mempertingkatkan kecekapan pengurusan pensijilan halal termasuk mengadakan sesi konsultansi kepada pemohon , mewujudkan kaunter bergerak permohonan dan lain-lain lagi. Terbaru, JAKIM telah berkerjasama dengan pihak FAMA dan Rakan Niaga R&R PLUS Sdn Bhd mengadakan program Rahmah Halal Malaysia sebagai inisiatif pensijilan halal Malaysia.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Inisiatif Rahmah Halal Malaysia, boleh ikuti laman sosial Facebook Bahagian Hab Halal, JAKIM.


Penulis adalah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Leave a Reply