Pili cekap air jimat bil masjid
CHERAS – Penggunaan pili wuduk cekap air di masjid-masjid berjaya membantu menjimatkan bil air sehingga 27 peratus.
Projek Perintis itu adalah sebahagian daripada usaha Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pengurusan Air Selangor (AiS) di tiga masjid yang bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna terhadap langkah penjimatan air.

Tiga masjid yang terpilih itu ialah Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Masjid As-Salam, Puchong Perdana dan Masjid Sultan Hisamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dengan setiap masjid diperuntukkan sebanyak RM 20, 000 bagi pemasangan pili wuduk cekap air menggantikan pili wuduk sedia ada berdasarkan kapasiti jemaahnya, penganjuran aktiviti dan kemudahan sedia ada.
Menurut Pengarah Eksekutif Jabatan Kawal Selia Air SPAN, Marzuki Mohamad, berdasarkan kajian yang dijalankan ke atas pili lama di masjid Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), kadar aliran alir yang keluar dalam tempoh seminit adalah sekitar 4 liter hingga 13 liter.
Ia jauh berbeza berbanding penggunaan pili cekap air di bawah Skim Pelabelan Produk Cekap Air (SPPCA) yang mencatatkan kadar aliran air di masjid BTHO dapat dijimatkan 3 liter per minit.

Dianggarkan sebanyak 68 peratus penjimatan penggunaan air berjaya dilakukan dengan menggunakan pili wuduk cekap air ini berbanding pili lama.
“Walaupun harga produk pili cekap agak mahal iaitu sekitar 20-30 peratus berbanding pili biasa, namun untuk jangka panjang, pengguna dapat menikmati penjimatan,” katanya pada Majlis Taklimat Projek Perintis Penggunaan Produk Cekap Air di Masjid Bandar Tun Hussein Onn Jumaat lepas.
Beliau berharap projek perintis itu dapat diperluas di semua masjid utama di seluruh negara.