PKP PEMULIHAN DILAKSANA BERMULA 10 JUN, RENTAS NEGERI DIBENARKAN – PM

KUALA LUMPUR: Bermula 10 Jun ini, perjalanan rentas negeri dibenarkan selaras dengan penguat kuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menggantikan PKP Bersyarat (PKPB) yang berakhir Selasa ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan memutuskan melaksanakan PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos depan ini susulan jangkitan COVID-19 yang rendah dan terkawal dalam kalangan rakyat tempatan.

Katanya, ia juga susulan trend penurunan COVID-19 selepas pelaksanaan PKP dan PKPB sebelum ini.

“Dalam tempoh PKPP ini, lebih banyak kelonggaran diberikan kepada saudara-saudari untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.

“Mulai 10 Jun 2020, perjalanan rentas negeri akan dibenarkan kecuali di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD.

“Jadi, bagi mereka yang ingin menziarahi ibu-bapa yang tinggal berjauhan di negeri lain bolehlah berbuat demikian,” kata Perdana Menteri dalam Perutusan Khas Pelaksanaan PKPP yang disiar stesen-stesen TV tempatan hari ini.

Berhubung kebenaran perjalanan rentas negeri, Muhyiddin bagaimanapun menasihatkan semua pihak sentiasa menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan mengelakkan tempat yang sesak semasa pulang ke kampung.

“Ingat, jika ibu bapa anda adalah warga emas, mereka berada dalam kategori orang yang mudah terdedah kepada jangkitan. Jadi, walaupun kita seronok dapat menziarahi mereka, tanggungjawab utama kita ialah untuk melindungi mereka daripada terkena jangkitan,” kata Perdana Menteri.

Perdana Menteri berkata dalam tempoh PKPP juga, hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan dan sektor ekonomi, beroperasi semula secara berperingkat dengan pematuhan sepenuhnya kepada SOP.

“Sepertimana yang telah diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, perkhidmatan gunting rambut dan salun akan dibenarkan.

“Pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam, pasar tamu, bazaria, medan selera, pusat penjaja, food truck dan gerai makan juga akan dibenarkan,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata aktiviti komersial yang melibatkan urus niaga jualan dan pemasaran bukan dalam premis perniagaan juga dibenarkan.

“Termasuk dalam senarai yang dibenarkan juga ialah lawatan ke muzium, indoor busking, dobi layan diri, aktiviti perikanan rekreasi termasuk kolam pancing komersial dan penggambaran filem.

“Mesyuarat dan bengkel juga dibenarkan dengan syarat mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan dan mengoptimumkan ruang,” katanya.

Perdana Menteri berkata, dalam kategori sukan, beberapa jenis sukan dan rekreasi dibuka semula dengan pematuhan kepada SOP.

“Ini termasuk latihan persediaan pasukan permainan sukan, aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan seperti bowling, badminton, memanah, menembak dan lain-lain.

“Aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal juga dibenarkan.

“Yang masih tidak dibenarkan ialah pertandingan sukan atau permainan melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai seperti di stadium, sukan renang dan kolam renang awam dan sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bolasepak, bola keranjang dan hoki,” kata Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata, selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri, aktiviti pelancongan domestik dibenarkan.

“Jadi saudara-saudari bolehlah membawa keluarga untuk melancong di dalam negeri dengan mengamalkan kebiasaan baharu atau new normal setelah hampir tiga bulan tidak ke mana-mana,” kata Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Perdana Menteri meminta mereka yang berhasrat untuk melancong ke luar negara, untuk menangguhkan perancangan itu kerana sempadan negara masih ditutup.

“Dalam kategori perayaan dan aktiviti keagamaan, saya nak sampaikan berita baik. Sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban akan dibenar tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan sedang memperhalusi kelonggaran membenarkan lebih ramai jemaah hadir mengikut ruang keluasan masjid atau rumah ibadat dan perkara itu akan diumumkan sedikit masa lagi.

“Bagi ibu-bapa yang ada anak yang bersekolah, pastinya saudara-saudari tertanya-tanya bila sekolah akan dibuka.

“Untuk makluman saudara-saudari, sekolah akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh PKPP ini setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan,” katanya.

Muhyiddin menjelaskan Kementerian Pendidikan akan membuat pengumuman terperinci berhubung pembukaan sekolah sedikit masa lagi. — AlHijrah Online/Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply