PKP 2.0: WAKTU OPERASI RESTORAN DAN KEDAI MAKAN AKAN DIPERTIMBANGKAN

KOTA TINGGI: Waktu operasi restoran dan kedai makan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dipertimbangkan kerajaan, iaitu dari jam 8 malam kepada 10 malam.

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia susulan rayuan pengusaha restoran dan kedai makan yang mahu waktu operasi mereka dilanjutkan.

Tambahnya, perkara tersebut telah dipanjangkan kepada Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk tindakan seterusnya.

“Kita akan pertimbangkan rayuan pemilik restoran dan kedai makan, namun semua tertakluk kepada situasi semasa COVID-19 dan pendapat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya selepas bergotong-royong membersihkan Balai Raya Kampung Tembioh yang merupakan sebahagian Program Misi Bantuan Banjir MITI dan Misi 2021 di sini hari ini. 

Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan, aktiviti  di restoran, kedai, gerai, kenderaan saji (food truck) dan penjaja tepi jalan di negeri terbabit PKP dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 8 malam.—AlHijrah Online

Leave a Reply