DAPATKAN KEBENARAN PKOB UNTUK SERTAI MISI PASCABANJIR DI PAHANG

KUANTAN: Individu yang ingin melakukan misi bantuan pascabanjir di negeri Pahang perlu mendapatkan kebenaran daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah sebelum melakukan perjalanan merentas negeri.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan memberitahu bahawa mereka yang tiada surat kebenaran tersebut akan diarah untuk berpatah balik serta dikompaun RM1,000 jika ingkar.

“Saya berharap mereka yang mahu menghantar bantuan mencetak kelulusan PKOB daerah dan mengemukakannya kepada polis semasa membuat permohonan permit merentas negeri.

“Ianya bagi mengelakkan kekeliruan kerana ada yang berpendapat permit rentas negeri daripada polis sudah mencukupi, sedangkan ketetapan kerajaan negeri ialah mereka perlu mendaftar di https://ebanjir.pahang.gov.my dan menunggu kelulusan diberikan,” katanya.

Terdahulu, Abd Jalil memaklumkan sebanyak 13 sekatan jalan raya diadakan di sempadan negeri termasuk di laluan tikus, seperti di Rompin yang merupakan laluan masuk dari selatan, Cameron Highlands (utara), Bentong (Lembah Klang), Lipis (Kelantan) dan Kuantan (pantai timur). 

“Mereka dari luar Pahang yang mendapat kebenaran PKOB juga  hanya boleh menghantar bantuan itu ke PKOB daerah dan terus bergerak pulang kerana barangan itu akan diagihkan oleh PKOB,” tambah beliau.

—AlHijrah Online

Leave a Reply