PKRC KELANTAN TERIMA 214 INDIVIDU

Sumber Gambar: BERNAMA

KOTA BHARU: Seramai 214 individu ditempatkan di dua Pusat Kuarantin Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang disediakan oleh kerajaan Kelantan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata, seramai 103 pesakit telah ditempatkan di PKRC Dewan Jubli Perak dan 111 pesakit di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM).

Antara PKRC yang disediakan adalah di Dewan Jubli Perak, Institut Latihan KKM, Hospital Kuala Krai (HKK Lama), Pusat Latihan Tumpat, Dewan Sivik Gua Musang (DSGM), dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK).

“Buat masa ini hanya dua PKRC sudah beroperasi iaitu DJP dan ILKKM, manakala DSGM dan PUTIK kini dalam proses persediaan untuk dibuka.

“Keseluruhan PKRC yang disediakan boleh memuatkan seraai 630 pesakit berdasarkan jumlah katil,” katanya.

Ujarnya, individu yang ditempatkan di PKRC adalah yang berisiko rendah, namun perlu dikuarantin serta dipantau selepas ujian calitan dilakukan kerana menjadi kontak rapat.

Dr Zaini memaklumkan seramai 290 pesakit yang kini dirawat di lima buah hospital yang berstatus ‘Hospital COVID-19’ iaitu 86 orang di Hospital Tumpat, Hospital Kuala Krai (Lama) (111), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) (69), Hospital Sultan Ismail Petra (7) dan Hospital Jeli (17).

Beliau berkata, pada masa ini empat buah hospital sudah menunjukkan penggunaan sehingga 70 peratus daripada jumlah katil yang disediakan.

Bagi Unit Rawatan Rapi (ICU) di HRPZII kini menunjukkan penggunaan sebanyak 75 peratus, manakala di HSIP sebanyak 40 peratus.

“Seramai 12 pesakit di bawah pengawasan telah ditempatkan di Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh, dan tujuh orang di Hospital Pasir Mas (HPM),” katanya.

—AlHijrah Online

Leave a Reply