PM BERTUKAR TIGA KALI DALAM SATU PENGGAL, MALAYSIA CATAT SEJARAH TERSENDIRI

KUALA LUMPUR: Tidak sampai satu penggal atau kurang lima tahun selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, pentadbiran kerajaan Persekutuan yang telah bertukar tiga kali akan diganti sekali lagi setelah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini.

Pembubaran itu memberi laluan kepada PRU ke-15 (PRU15) diadakan, sekali gus mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk memberi mandat kepada parti mana yang akan dipilih membentuk kerajaan serta menghentikan suara-suara yang mempersoalkan keabsahan kerajaan.

“Parlimen Penggal Ke-14 melakarkan warna suram kepada landskap politik negara. Belum pernah terpateri dalam sejarah, berlakunya pertukaran tiga Perdana Menteri dan Kerajaan memerintah bersilih ganti dalam penggal yang sama. Ini memberi dampak memburuk terhadap sosiopolitiko-ekonomi,” kata Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas sempena Pembubaran Parlimen ke-14 yang disiarkan secara langsung melalui saluran stesen televisyen tempatan dan menerusi Facebook Live Perdana Menteri.

Menelusuri gelora politik negara sejak 2018, kekalahan mengejut Barisan Nasional (BN) pada PRU14 selepas memerintah selama enam dekad mengubah landskap politik tanah air apabila parti pembangkang, Pakatan Harapan (PH) buat pertama kali menerajui tampuk pemerintahan kerajaan pusat dan beberapa negeri.

PH yang terdiri daripada PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menang dengan majoriti mudah selepas memenangi 113 kerusi manakala BN pula hanya memenangi 79 kerusi diikuti PAS (18), Parti Warisan Sabah (lapan), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (satu) dan Bebas (tiga).

Kemenangan PH memberi tamparan hebat kepada BN, manakala Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Pengerusi Bersatu ketika itu mencatat sejarah apabila dilantik sebagai Perdana Menteri untuk kali kedua pada usia 92 tahun menerusi tiket parti yang pernah menjadi musuh politiknya.

Bagaimanapun, pelantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh datang dengan janji penyerahan jawatan itu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas tempoh dua tahun memerintah untuk membolehkan Presiden PKR itu menjadi Perdana Menteri kelapan.

Kemelut politik negara bermula dengan tekanan dari dalam kerajaan PH berhubung peralihan kuasa dan kegagalan mencapai kata sepakat membawa kepada beberapa pertemuan yang melibatkan pemimpin utama parti-parti politik termasuk ‘cakap-cakap’ mengenai penjajaran semula politik tanah air. 

Kemuncaknya, beberapa pemimpin PH dan parti pembangkang mengatur pertemuan yang dikenali ‘Langkah Sheraton’ pada 23 Feb 2020 di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Selangor yang berakhir dengan kejatuhan kerajaan PH selepas 22 bulan memerintah.

Susulan Langkah Sheraton, pada 24 Feb 2020 Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu keluar PH dan lebih mengejutkan Dr Mahathir mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan pengerusi Bersatu pada hari sama sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri interim.

Langkah Sheraton turut menyaksikan PKR memecat Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Zuraida Kamaruddin yang mengakibatkan sembilan lagi ahli Parlimen PKR keluar parti dan menjadi wakil Bebas.

Kemelut yang berlaku mengubah keseluruhan landskap politik dan pentadbiran negara apabila PH kehilangan tampuk pemerintahan. Perubahan pentadbiran di peringkat persekutuan turut menyebabkan PH ‘kehilangan’ negeri Johor, Kedah, Melaka dan Perak.

Seluruh negara yang ketika itu diancam pandemik COVID-19 memerlukan seseorang untuk mengemudi negara dan berikutan itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memanggil menghadap setiap Ahli Parlimen serta pemimpin utama parti di Istana Negara sebelum merujuk isu itu kepada Majlis Raja-raja.

Pada 29 Feb 2020, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menerajui kerajaan baharu Persekutuan, setelah mendapatkan pandangan Ahli-ahli Dewan Rakyat dan pemimpin parti-parti politik.

Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac 2020, sebelum membentuk kerajaan gabungan merangkumi Bersatu, BN (UMNO, MCA, MIC), PAS, STAR, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Maju Sabah (SAPP), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN).

Namun, pelantikan Muhyiddin tidak berupaya menstabilkan politik negara malahan berlarutan dan rakyat berterusan disajikan dengan pelbagai drama desakan terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin. Isu keabsahan Muhyiddin sebagai perdana menteri dan kerajaan PN menjadi perkara sering dibangkitkan pembangkang, pemimpin dan pemerhati politik.

Sepanjang lapan bulan pertama pentadbirannya, Muhyiddin terpaksa menangkis pelbagai usaha untuk menjatuhkan kerajaan PN, termasuk dakwaaan Anwar bahawa beliau mempunyai sokongan meyakinkan di Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu serta cadangan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri itu.

Selain itu, cadangan Muhyiddin berhubung kerjasama rentas parti untuk bersama-sama kerajaan PN menangani COVID-19 juga tidak diterima oleh parti-parti pembangkang serta penentangnya, sehingga beliau dilihat kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Susulan itu, beliau memutuskan untuk meletak jawatan pada 16 Ogos 2021 selepas memerintah selama 17 bulan, sebelum Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan, menggantikan Muhyiddin.

Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 21 Ogos 2021 setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, sekali gus memberikan sinar harapan bahawa polemik politik yang melanda negara akan dapat ditamatkan. 

Ahli Parlimen Bera itu memperoleh sokongan majoriti 114 Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkannya membentuk kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ bertunjangkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. 

Tanpa mengambil masa panjang, Ismail Sabri mengambil langkah drastik dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan PH pada 13 Sept 2021, bagi membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

Dengan termeterainya MoU itu, suhu politik negara kembali reda dengan tumpuan semua pihak ketika itu terarah kepada usaha pemulihan negara, merangkumi pelbagai aspek, yang terjejas berikutan pandemik COVID-19.

Perjalanan politik selepas PRU14 yang mencatatkan sejarah apabila berlaku pelantikan tiga Perdana Menteri pastinya tidak akan dilupakan seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa.

Sejarah yang tercatat ini juga membuka mata seluruh rakyat Malaysia dalam menilai dan memilih siapakah yang akan diundi mereka pada PRU15 untuk menerajui tampuk pemerintahan supaya kemelut yang berlaku pada penggal lepas tidak berulang lagi.–AlHijrah Online

Leave a Reply