PM SERAH SURAT TAWARAN PENGAJIAN KEPADA ANAK ANGGOTA BOMBA LEMAS

MELAKA: Hasrat anak sulung anggota bomba yang lemas dalam kejadian banjir di Sungai Putat, Melaka bulan lalu, untuk melanjutkan pengajian dalam bidang automotif, tercapai apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan sendiri surat tawaran berkenaan kepada Mohamad Daniel Hakimie Mohd Diya, 18 tahun, hari ini.

Penyerahan surat tawaran kemasukan ke Kolej Komuniti Bukit Beruang itu diserahkan Perdana Menteri kepada isteri allahyarham, Noraida Che Nor, 39 tahun di Klebang.

Turut bersama Noraida pada majlis ringkas itu ialah empat orang anaknya, Mohamad Daniel Hakimie, Nurul Ain, 16, Muhammad Danish Hakim, 12, dan Nurul Anisah Ilya, 9.

Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad.

Noraida ketika ditemui berterima kasih dan terharu dengan keprihatinan Perdana Menteri terhadap nasib keluarganya selepas kematian suami, 20 Oktober lalu.

Ujar Noraida, hasrat untuk melihat anaknya melanjutkan pengajian dalam jurusan automotif itu juga adalah impian arwah suaminya yang memahami minat mendalam Mohamad Daniel Hakimie dalam bidang berkenaan.

“Alhamdulillah saya rasa bersyukur dan terharu sangat sebab PM sangat prihatin sanggup turun padang serahkan sendiri surat tawaran tersebut, saya terharu sangat,” katanya.

Mohamad Daniel Hakimie yang turut sebak, tidak menyangka menerima surat tawaran itu daripada tangan pemimpin tertinggi negara.

“Saya rasa seronok sangat bila tercapai cita-cita saya dari dulu untuk sambung belajar. Saya harap saya mampu banggakan ibu dan arwah ayah serta semua yang menyokong saya,” katanya.

Mohamad Daniel Hakimie akan melaporkan diri ke Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka bagi sesi kedua 2021/2022 bermula Februari tahun depan.

Remaja itu akan mengikuti kursus servis kenderaan ringan peringkat Sijil selama dua tahun.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang 20 Oktober lalu, Mohd Diya dipercayai lemas ketika sedang memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing. –AlHijrah Online

Leave a Reply