POLIS ISRAEL BALING BOM GAS PEMEDIH MATA KETIKA JEMAAH PALESTIN SEDANG SOLAT

PERTEMPURAN POLIS ISRAEL DENGAN RAKYAT PALESTIN (GAMBAR OLEH: Ahmad GHARABLI / AFP)

BAITULMAQDIS: Malam-malam terakhir Ramadan di Masjidil Aqsa dicemari dengan tindakan tidak berperikemanusiaan polis Isarel yang membaling bom gas pemedih mata ketika jemaah Palestin sedang solat.

Berdasarkan visual yang dirakam, beberapa barisan jemaah sedang solat di luar perkarangan Masjidi Aqsa sebelum diserang polis Israel dengan gas pemedih mata.

Terdapat jemaah yang cuba kekal untuk meneruskan solat namun kemaraan polis Israel ke arah mereka selain banyak letupan kecil berdekatan menyebabkan jemaah yang sedang solat berundur.

Selain keganasan tersebut, polis Israel turut bertempur dengan rakyat Palestin di perkarangan Masjid Al-Aqsa lewat malam Jumaat.

Anggota polis melepaskan peluru getah dan bom tangan dan dibalas rakyat Palestin dengan balingan batu, botol dan bunga api.

AFP melaporkan, sekurang-kurangnya 163 rakyat Palestin dan enam polis negara haram Israel cedera dalam pertempuran malam tadi.

Polis Zionis mendakwa tindakan mereka bagi meleraikan ‘rusuhan ribuan jemaah’ dan pasukan keselamatan terpaksa ‘memulihkan ketenteraman’.

Ketegangan di Baitulmaqdis memuncak sejak beberapa minggu lalu susulan larangan Isreal terhadap akses ke beberapa bahagian di Kota Lama ketika Ramadan, selain pihak berkuasa mengarahkan beberapa keluarga Palestin meninggalkan rumah mereka bagi memberi jalan untuk penduduk Israel.

Pergolakan semalam juga berlaku pada Hari Al-Quds, hari tahunan demonstrasi pro Palestin yang diadakan Iran, musuh utama Israel.

Presiden Palestin, Mahmud Abbas berkata, Israel ‘bertanggungjawab’ terhadap rusuhan berkenaan dan menyuarakan ‘sokongan penuh untuk pejuang di Aqsa’. — AlHijrah Online

Leave a Reply