ARAU: Polis menahan seorang wanita yang tular videonya menampar anaknya sehingga tersungkur dan terhantuk pada bucu bangku hingga berdarah, di hadapan sebuah pasar raya di Jejawi, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, suspek berusia 37 tahun yang bekerja sebagai pekerja kantin itu ditahan di bilik sewanya di Jejawi, di di sini kira-kira jam 11.30 malam.
“Mangsa merupakan anak perempuan suspek berusia empat tahun dan dia didapati mengalami luka berjahit di bahagian kening sebelah kanan.
“Kejadian disyaki berlaku di hadapan kaki lima pasar raya di Jejawi, Arau dan suspek akan dibawa ke mahkamah untuk direman bagi membantu siasatan,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Bagaimanapun kanak-kanak tersebut sudah menerima rawatan susulan selepas kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Terdahulu tular video memaparkan seorang wanita mendera seorang kanak-kanak dengan menarik tangan kemudian menampar mangsa sehingga jatuh tersungkur sebelum terhantuk pada bucu bangku sehingga berdarah.—AlHijrah Online