POLIS SIASAT DAKWAAN ANGGOTA ‘PAU’ PEKERJA BANGLADESH

KUALA LUMPUR: Polis menyiasat dakwaan seorang majikan yang mendakwa beberapa anggota polis melakukan pemerasan ke atas pekerjanya di Jalan Imbi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan atas dakwaan tersebut dilakukan secara telus serta tidak akan melindungi mana-mana anggota polis yang dikenal pasti terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Semalam terkesan satu ciapan di Twitter atas nama ‘Pie-U Ammar Amin’ bertarikh 22 April yang meluahkan ketidakpuasan hati terhadap anggota polis yang didakwa melakukan pemerasan ke atas pekerjanya di Jalan Imbi.

“Dalam hal ini, polis daerah Dang Wangi mengambil maklum berkaitan isu ini dan memohon individu berkenaan supaya hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan,” katanya

Tambah Mohamad Zainal, polis akan melakukan siasatan sekiranya dakwaan berkenaan adalah benar.

Mengulas lanjut, orang ramai dinasihati supaya tidak menularkan ciapan berkenaan yang boleh mendatangkan kegusaran awam.

“Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Terdahulu, individu berkenaan mendakwa pekerjanya diperas ugut dan diminta bayaran RM200 bagi seorang individu.–AlHijrah Online

Leave a Reply