POLIS SIASAT KES CUBAAN CULIK MURID DI IPOH

Foto Arkib

IPOH: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan cubaan culik seorang murid di hadapan Sekolah Kebangsaan Pengkalan, Taman Pinji Mewah di sini Jumaat lepas, yang tular menerusi media sosial.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut daripada ibu kanak-kanak itu pada pukul 9 malam hari sama.

“Polis telah menubuhkan satu pasukan siasatan khas bagi menyiasat kes ini dari pelbagai sudut di samping bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan negeri serta pihak sekolah dalam mempertingkatkan langkah pencegahan dan keselamatan di sekolah.

“Ibu bapa diminta menghantar dan mengambil murid mengikut waktu ditetapkan dan memaklumkan kepada pihak sekolah jika mempunyai sebarang masalah mengenai urusan mengambil dan menghantar murid ke sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata pihak sekolah juga diingatkan supaya memastikan urusan menghantar dan mengambil murid hanya dilakukan oleh ibu bapa dan penjaga yang sah sahaja.

“Selain itu, kami telah menempatkan pegawai polis sebagai pegawai perhubungan sekolah (PPS) di seluruh Perak,” katanya.

Kes berkenaan tular menerusi Facebook selepas bapa kanak-kanak berkenaan memuat naik satu hantaran mendakwa anaknya hampir menjadi mangsa penculikan namun berjaya menyelamatkan diri ketika berada di hadapan sekolah tersebut.-AlHijrah Online

Leave a Reply