POLIS TAHAN TIGA INDIVIDU TERLIBAT SINDIKET PENJUALAN VAKSIN COVID-19

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga individu yang disyaki terlibat dengan sindiket penjualan vaksin COVID-19.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, penahanan dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 23 hingga 50 tahun itu dilakukan selepas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya dan Bahagian Risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur melakukan serbuan.

Hasil serbuan yang dilakukan, polis berjaya merampas enam buah telefon bimbit serta beberapa dokumen yang berkait dengan sindiket tersebut.

“Hasil siasatan mendapati orang awam telah dihubungi suspek secara rawak dan menawarkan RM420 bagi dua dos suntikan vaksin.

“Bayaran akan dibuat selepas suntikan diberikan kepada pelanggan,” katanya.

Tambahnya sindiket itu dikesan hasil laporan seorang wanita yang bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) yang mendapat maklumat mengenai aktiviti penjualan haram itu.

Sementara itu, Azmi memaklumkan Ketua Sekretariat CITF Persekutuan telah mengesahkan bahawa Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) tidak memberikan kelulusan kepada mana-mana pihak untuk menjual vaksin COVID-19.

Azmi berkata, perintah reman turut dikenakan ke atas suspek di bawah Seksyen 117 KPJ yang bermula hari ini sehingga 26 Jun.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan (Cubaan Tipu).

Tambah Azmi, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menerima tawaran dari mana-mana pihak yang menjual vaksin.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang aktiviti penjualan vaksin boleh hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur (03-21159999) atau Sekretariat CITF (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovatif) di talian 03-88934303/4304,” katanya.

–AlHijrah Online

Leave a Reply