POS MALAYSIA TAWAR PERKHIDMATAN BAGASI PULANG KEPADA JEMAAH UMRAH

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd menawarkan perkhidmatan penghantaran pulang bagasi ke tanahair kepada jemaah umrah bermula 1 Jan, 2020 bagi memudahkan urusan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syed Md Najib Syed Md Noor berkata perkhidmatan itu bermatlamat untuk menyediakan pilihan perkhidmatan bagasi yang mudah dan tanpa ragu kepada jemaah selepas selesai mengerjakan umrah.

“Melalui perluasan perkhidmatan bagasi kami ini, jemaah Malaysia dapat memanfaatkan perkhidmatan ini untuk mengirim balik barangan mereka ke tanahair.

“Ia dapat membantu jemaah mengurangkan beban dan mengelakkan daripada dikenakan caj lebihan bagasi yang mahal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pos Malaysia mengenakan caj SR/RM20 bagi setiap kilogram untuk penghantaran ke Semenanjung Malaysia dan SR/RM25 bagi setiap kilogram ke Sabah dan Sarawak.

“Dua pilihan pembayaran disediakan — secara tunai dalam matawang Riyal Saudi bagi penghantaran dari Mekah dan Madinah atau melalui kaedah bayar waktu terima sebaik sahaja barangan diterima di Malaysia,” katanya.

Selain itu, perkhidmatan pembungkusan juga disediakan bagi pelanggan yang memerlukan pembungkusan barangan dalam kotak dengan caj bermula dari SR8 untuk kotak saiz kecil, SR10 untuk kotak saiz sederhana dan SR12 untuk kotak saiz besar.

Buat sementara waktu, Pos Malaysia akan menyediakan perkhidmatan pengambilan secara temujanji melalui panggilan sehingga kaunter tetap disiapkan. — BERNAMA

Leave a Reply