POTONG GELANG ‘PINK’ SEBAB NAK BERSIAR-SIAR, REMAJA DIKOMPAUN RM5,000

TAIPING: Padah menanggalkan gelang merah jambu untuk keluar bersiar-siar, seorang remaja perempuan dikompaun RM5,000.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Osman Mamat berkata, polis berjaya mengesan lokasi remaja berusia 17 tahun terbabit selepas video berkaitan kes tular di media sosial sejak semalam.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di Kamunting dan remaja terbabit didapati menanggalkan gelang kuarantin tanpa kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Remaja terbabit menjalani ujian calitan pada Sabtu lalu dan keputusannya masih belum diperolehi. Difahamkan ketika kejadian itu, dia dikatakan hanya singgah di rumah rakannya di kawasan berkenaan,” katanya.

Menurut ACP Osman, kompaun dikenakan kerana remaja itu melakukan kesalahan di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“Polis menasihatkan masyarakat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memerangi wabak COVID-19.

“Mana-mana individu yang didapati sengaja melanggar peraturan yang ditetapkan akan diambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Semalam tular di TikTok video berdurasi 31 saat yang memaparkan seorang remaja yang memakai topi keledar menanggalkan gelang merah jambu di sebuah kediaman.

Difahamkan remaja itu berbuat demikian berikutan mahu keluar bersiar-siar.–AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply