PTPTN diminta beri penjelasan semula


Dr Maszlee Malik mengadakan lawatan ke SJKT Sungai Ara pagi tadi dan meluangkan masa selama sejam di sekolah berkenaan.

BAYAN BARU – Kementerian Pendidikan meminta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberi penjelasan semula berhubung cadangan untuk memperkenalkan sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, tindakan itu perlu bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat terhadap agensi berkenaan.

Menurutnya, cadangan itu merupakan hasil daripada maklum balas yang diterima daripada orang awam menerusi tinjauan atas talian bukannya dibuat oleh PTPTN sendiri.

“Saya lihat apa yang dikatakan oleh pengerusi PTPTN itu, bukannya keputusan atau cadangan agensi tersebut sebaliknya ia satu konsultasi awam yang dilaksanakan oleh PTPTN. Saya rasa ada kekeliruan di situ.

“Oleh itu, PTPTN perlu memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut bagi mengelakkan salah faham atau kekeliruan. Rakyat perlu tahu, ia bukan cadangan daripada PTPTN tetapi pandangan umum yang diperolehi hasil konsultasi awam,” katanya kepada media.

Maszlee ditemui selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Ara pagi tadi.

Semalam, PTPTN menyatakan bahawa cadangan agar agensi tersebut menguatkuasakan semula sekatan terhadap peminjam culas merupakan antara idea yang dikemukan pihak berkaitan hasil daripada sesi libat urus yang dijalankan.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, alasan bagi cadangan tersebut kerana ia berkesan ke atas peminjam PTPTN yang culas tidak membayar pinjaman bertujuan untuk mendisiplinkan mereka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa ia bukan cadangan PTPTN tetapi pihak berkaitan dan idea-idea daripada konsultasi rakyat tersebut akan dibawa kepada Kementerian Pendidikan dan Kabinet. – SINAR HARIAN

Leave a Reply