Punca kematian Orang Asli belum dapat dipastikan

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan punca kematian Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan masih belum dapat dipastikan.
Namun begitu, menurut beliau keputusan ujian TB & Leptospirosis adalah negatif.
“Saya yakin jawapan kepada persoalan ini dapat diselesaikan segera. Syabas kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gua Musang dan Program Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan atas usaha dan komitmen anda semua,” katanya dalam satu kenyataan di Gua Musang hari ini, sebagaimana laporan Bernama.
Beliau juga telah menziarahi pesakit-pesakit Orang Asli di Hospital Gua Musang, di mana beliau bersama Senator Waytha Moorthy telah diberikan taklimat oleh pihak JKN Kelantan dan PKD Gua Musang, selain melawat Orang Asli di kawasan perpindahan ketiga, dua kilometer dari penempatan asal mereka.
Menurut beliau lagi, penduduk di situ hidup dalam keadaan ketiadaan sumber air dan elektrik, sebagaimana maklumat yang disampaikan oleh Tok Batin, Raina Anjang.
Bagaimanapun, perkara itu telah diambil perhatian oleh Mesyuarat Jawatankuasa Antara Agensi hari ini dan tindakan susulan akan diambil untuk menangani masalah tersebut, jelas beliau lagi berdasarkan maklumat yang diterima.