Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

QARI, QARIAH MALAYSIA JOHAN TILAWAH MTHQA-64

DALAM NEGARA

QARI, QARIAH MALAYSIA JOHAN TILAWAH MTHQA-64

Qari dan Qariah dari Malaysia, Muhammad Husaini Mahmur dan Nor Hidayah Abdul Rahman dinobatkan Johan Tilawah untuk Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat Kebangsaan kali ke-64 (MTHQA) 2024.

KUALA LUMPUR: Qari dan qariah Malaysia dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran bagi kategori masing-masing pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64 malam ini.

ARTIKEL BERKAITAN – HAFIZAH MALAYSIA NAIB JOHAN HAFAZAN ANTARABANGSA MTHQA KE-64

Muhammad Husaini Mahmur diumumkan sebagai pemenang dalam kategori qari selepas meraih markah 95.71 peratus manakala Abdur Rasheed dari Pakistan di tempat kedua (93.59 peratus) dan di tempat ketiga ialah Wahyu Andi Saputra dari Indonesia (92.09).

Bagi kategori qariah pula, Nor Hidayah Abdul Rahman muncul johan selepas mencatatkan markah 91.76 peratus diikuti peserta Filipina Raihana Ambangaladi tempat kedua (90.26 peratus) manakala Syamimi Assahira dari Indonesia di tempat ketiga (89.46).

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan hadiah kepada pemenang dalam kategori qari manakala Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bagi kategori qariah.

Kategori hafazan lelaki pula menyaksikan Oubaydullah Boubacar Ango dari Niger muncul johan dengan markah 97.63 peratus diikuti Ibrahim Sow dari Ivory Coast (97.00 peratus) dan tempat ketiga Aeimiddin Farkhudinov dari Rusia (96.88).

Peserta Niger Habsatou Hamissou Boubacar muncul johan bagi kategori hafazan wanita dengan markah 96.13 peratus diikuti Putri Aminah Mohd Hanif dari Malaysia di tempat kedua (94.89 peratus) dan ketiga ialah Fathimah Shaya Zahir dari Maldives (94.38).

Johan bagi kategori Tilawah Al-Quran dan Hafazan Al-Quran masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM40,000 daripada kerajaan berserta kepingan emas bernilai RM12,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) selain menerima hadiah iringan dan sijil.

MTQHA ke-64 anjuran Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, menampilkan 92 peserta dari 71 negara terdiri daripada 53 bagi tilawah dan 39 hafazan.

Seramai 15 hakim dari pelbagai negara terlibat dalam MTQHA kali ini yang mengekalkan beberapa hakim iaitu dari Maghribi dan Turkiye selain muka baharu dari Arab Saudi dan Indonesia dengan proses penilaian meliputi aspek tajwid, fasahah, kualiti suara serta ingatan khususnya bagi peserta hafazan

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

1 Comment

1 Comment

  1. Pingback: HAFIZAH MALAYSIA NAIB JOHAN HAFAZAN ANTARABANGSA MTHQA KE-64 – ALHIJRAH ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading