RAKYAT MALAYSIA DI LUBNAN SELAMAT

KUALA LUMPUR: Kedutaan Malaysia di Beirut, Lubnan memaklumkan semua rakyat Malaysia di negara itu selamat daripada kejadian letupan besar yang menggegar bandar itu pada petang Selasa waktu tempatan.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata rakyat Malaysia yang di negara itu juga telah dinasihatkan untuk kekal berada di rumah.

“Laporan daripada Kedutaan Malaysia di Beirut menunjukkan semua  rakyat Malaysia selamat dan dinasihatkan untuk berada di rumah,” katanya dalam ciapan di Twitter rasminya hari ini.

Hishammuddin turut memaklumkan Malaysia bersimpati dengan apa yang berlaku dan mendoakan kesejahteraan rakyat Lubnan.

“Malaysia sedia menghulurkan sebarang sokongan yang kami boleh,” katanya. 

Setakat laporan ini ditulis, sekurang-kurangnya 78 terbunuh manakala lebih 4,000 lagi cedera dalam kejadian yang berlaku di pelabuhan yang terletak di Beirut.

Pihak berkuasa dilapor mengesahkan punca insiden disebabkan tindak balas bahan letupan yang berlaku di sebuah gudang penyimpanan bahan letupan. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply