RAMADAN: FORMULA ‘PESTA IBADAH’ TV ALHIJRAH LUAR BIASA

Oleh: Ardi Herman Mohd Mardzi

KUALA LUMPUR: Menyedari tanggungjawab sebagai penyiar yang bermatlamat menyebar ilmu dan dakwah kepada penonton, saluran TV Islam pertama tanah air, TV Alhijrah menepati jangkaan awalnya apabila berjaya mencatat trend kepenontonan luar biasa pada Ramadan lalu.

Pun begitu, bukan sekadar ‘nombor’ yang didamba, sebaliknya peranan memberi mesej tentang kemuliaan Ramadan dan memanfaatkan bulan penuh barakah itu kepada khalayak juga menjadi keutamaan TV Alhijrah sebagai satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul, apatah lagi Ramadan adalah bulan umat Islam melipat ganda amal ibadahnya dengan harapan ia tidak terhenti sebaik Syawal menjelma.

Umat Islam perlu beristiqamah dengan ‘pesta ibadah’ biar pun Ramadan hanya hadir setahun sekali, dan keghairahan melaksanakan amalan wajib dan sunat dalam Ramadan harus dipupuk sepanjang tahun.

Setiap hamba Allah seharusnya tahu, amalan berqiam pada sepertiga akhir malam, bertadarus Al-Quran, bertarawih, berzakat, di samping menambah ilmu pengetahuan agama dan melaksanakan amalan kebaikan adalah antara perkara yang dituntut agama dalam bulan Ramadan kerana ‘pulangannya’ adalah luar biasa di sisi Allah.

MENYUBUR NILAI RAMADAN

Menyedari pentingnya amalan-amalan sedemikian dalam bulan Ramadan, TV Alhijrah yang menggunakan tema kempen Ramadan “Imarahkan Ramadan #eratkanjalinan” telah merangka formula “men-TV-kan” amalan-amalan umum dan khusus yang lazimnya dipraktikkan umat Islam pada bulan suci itu. Dalam erti kata lain, TV Alhijrh membawa penonton mendalami ilmu, pengalaman dan menyuntik kesedaran bahawa Ramadan adalah bulan yang penuh istimewa, dengan diwarnai pelbagai kisah Sirah agung yang berlaku pada zaman junjungan besar Nabi Muhammad Salallahu ‘Alaihi Wassalam.

Seawal jam 4 pagi, program Cinta Ilmu Qiam diterbitkan sebagai pembuka hari baharu di bulan Ramadan dengan pengisian bimbingan rohani, ketika umat Islam mula bangkit untuk beribadah malam, sebelum bersahur dan memulakan rutin ibadah berpuasa.

Ia disusuli siaran langsung Assalamualaikum Sahur pada jam 5 pagi, yang memuatkan kandungan ibadah solat-solat sunat yang dituntut, selain bertazkirah dan bersahur bersama hos dan asatizah yang diundang, sebelum diteruskan dengan Assalamualaikum Subuh, sebuah slot yang menganjurkan budaya dan amalan berwakaf, berinfak dan bersedekah pada awal pagi yang juga bersiaran secara langsung jam 6.30 pagi.

“Ramadan adalah ‘hari baik bulan baik’. Amalan kebaikan perlu mewarnai kehidupan umat Islam dan ia perlu berterusan. Kenapa tidak kita mulakan pagi kita dengan beramal ibadat dan berinfak harta kepada pihak-pihak dan golongan memerlukan?”, jelas Penerbit program kluster Assalamualaikum, Nur Hamizah Pazalol Rahman dari Jabatan Berita dan Ehwal Semasa.

Menurut Nur Hamizah lagi, pengisian bual bicara pagi Assalamualaikum diteruskan hingga jam 10 pagi itu turut memuatkan mesej-mesej penting Ramadan daripada Al-Quran, memberi kefahaman tentang adab-adab pada bulan mulia, dan pada masa sama menelusuri hukum hakam agama sebagai panduan dalam memperkasa amalan ibadah dalam Rukun Islam yang ditunaikan pada bulan suci itu.

“TV Alhijrah merintis ‘belt’ sepertiga akhir malam melalui program seawal pukul 4 pagi. Kami optimis biar pun waktu itu sebahagian besar rakyat Malaysia sedang diulit mimpi, namun hakikatnya tidak kurang umat Islam ingin memanfaatkan bulan Ramadan mereka dan kami sajikan dengan program yang menepati keperluan spiritual mereka pada jam-jam tersebut,” jelas Zulkarnaen Mokhtar, Pengurus Penjenamaan dan Kajian Pengguna TV Alhijrah.

Selain ‘belt’ sepertiga akhir malam, beberapa lagi program khusus turut diatur bagi memenuhi kehendak penonton sepanjang Ramadan, antaranya Peristiwa Ramadan (Isnin-Jumaat, 10 malam), Ihya’ Ramadan (Setiap Hari, 6 petang), Sembang Moreh (Isnin-Rabu, 10 malam) dan program khas seperti Khatam Perdana (bersiaran langsung 14 jam pada 27 Ramadan).

FORMULA MENJADI

Perencanaan TV Alhijrah dalam usaha menyuburkan nilai-nilai mulia pada bulan Ramadan dalam kalangan penonton, mendapat tempat apabila data-data kajian pengguna daripada Nielsen Media menunjukkan, tempoh antara 23 Mac hingga 21 April menterjemah kecenderungan penonton untuk bersama TV Alhijrah.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata, pada Ramadan tahun ini, TV Alhijrah berkedudukan kelapan, daripada senarai 26 saluran berbahasa Melayu, berbanding tempat ke-12 pada Ramadan tahun lalu dengan jumlah syer 2.81% untuk tahun ini, peningkatan 140% berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Sejak tahun 2019, syer tahun 2023 ini adalah yang tertinggi berbanding bulan-bulan Ramadan sebelum ini,” menurut Namanzee.

Jelas Namanzee lagi, seperkara lagi yang boleh dibanggakan adalah peningkatan ketara rating pada slot 6 pagi hingga 6.30 pagi pada bulan Ramadan, yang menyaksikan peningkatan 10 kali ganda berbanding bulan sebelumnya. Manakala rating hingga mencecah 382,000 tontonan adalah yang tertinggi dicatat iaitu pada waktu azan Maghrib, iaitu waktu berbuka puasa yang sentiasa dinanti-nantikan penonton.

“TV Alhijrah sentiasa bermatlamat menyuburkan nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakat, maka bulan Ramadan adalah ruang terbaik untuk kami all out bagi mencapai hasrat itu.

“Bagi saya, ini satu success story TV Alhijrah. Penonton meletakkan kepercayaan mereka terhadap TV Alhijrah dan kami berterima kasih kepada penonton yang terus istiqamah menyokong,” menurut Namanzee lagi.

CAKNA ISU UMAT ISLAM GLOBAL

Bagi Jabatan Berita dan Ehwal Semasa TV Alhijrah pula, insiden membelasah jemaah dan serangan di dalam Masjidil Aqsa di kota suci Baitulmaqdis, Palestin oleh entiti penjajah Zionis pada bulan Ramadan adalah tempias kekejaman yang amat mengguris perasaan umat Islam di Malaysia.

“Berita Alhijrah dan Globalhijrah meletakkan konflik itu sebagai ‘top story’ pada hari-hari Al-Aqsa diserang dan jemaah Masjid dikasari,” tegas Nor Hashimah Ismail, Penerbit dan Editor Berita, TV Alhijrah.

Jelas Nor Hashimah lagi, Unit Editorial Berita turut berperanan menggema pendirian kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cakna dan responsif tentang isu yang melanda umat Islam, khususnya di Palestin serta di negara konflik lain seperti Sudan dan Myanmar ketika ini.

“Malah, sebelum ini, tindakbalas kerajaan Malaysia yang mencetak sejuta naskhah Al-Quran untuk diagihkan ke seluruh dunia sebagai reaksi kepada perlakuan biadab membakar kitab suci itu oleh ahli politik anti-Islam Sweden-Denmark juga manifestasi Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar yang sentiasa memperjuang nasib umat Islam di peringkat global,” kata Nor Hashimah lagi.

27 Januari yang lalu, Datuk Seri Anwar telah mengumumkan usaha mencetak sejuta naskah Al-Quran sebagai simbolik penuh hikmah dan matang bagi menjawab serangan purbasangka terhadap Islam seperti kejadian pembakaran kitab suci Al-Quran di Sweden.

MENJULANG MALAYSIA MADANI, TRANSFORMASI AL-FALAH

Satukan Ummah Dengan Ilmu yang menjadi tema TV Alhijrah pada tahun 1444 Hijrah turut melengkapi konsep Membangun Malaysia MADANI, yang diilhamkan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pemimpin nombor satu negara.

Antara program yang diterbitkan adalah program Cinta Ilmu yang bersiaran setiap Isnin hingga Rabu, dengan membawakan tema Islam, Iman dan Ihsan.

“Ihsan itu sinonim dengan makna peduli dan belas kasihan,” memetik salah satu Prinsip Malaysia Madani.

Prinsip itu diangkat melalui program Cinta Ilmu-Ihsan bersiaran setiap Rabu jam 7.30 malam dengan mengupas tentang nilai-nilai murni dalam masyarakat, seperti bersangka baik kepada Allah SWT.

May be an image of 2 people, headscarf and text that says 'DATUK DR. PROF MUHAYA TALIB HUSIN Panel Tetap MATAhat MATAh TVALHIJRAH Pengacara MADANI BANGKIT SERIBU KALI 9 APRIL 2023 AHAD 6:30 PETANG Ditularkan Oleh MALAYSIA SATUKAN UMNAH 10000000 AH MADANI DEGANMU tvalhijrah ALHURAHPLUS Portal Rasmi ALHIJRAH ONLINE'

Sementara itu sebuah lagi program mingguan terbitan TV Alhijrah, Mata Hati MADANI telah disiarkan sejak minggu pertama Ramadan menampilkan Datuk Profesor Dr Muhaya Mohamad sebagai panel utama.

Program itu meneroka dan mengaplikasi formula rahsia kehidupan dan elemen Madani demi memiliki perjalanan hidup yang lebih lancar dan tenang.

Selain menggerakkan pelbagai inisiatif dan program yang seiring falsafah Malaysia MADANI, TV Alhijrah sebagai salah sebuah agensi agama Islam di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut berperanan menyokong gagasan Transformasi Al-Falah yang diilhamkan Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Program-program berita dan ehwal semasa di TV Alhijrah berperanan menjadi suara kerajaan persekutuan kepada masyarakat dalam memperjelas dasar-dasar, kempen-kempen dan inisiatif yang digerakkan.

Selain Berita Alhijrah yang memaparkan liputan-liputan harian program kerajaan dan laporan-laporan khas, program bual bicara seperti Analisis dan 60 Minit Bersama turut menjadi platform diskusi isu-isu semasa rakyat, merangkumi aspek kesihatan, pendidikan, alam sekitar, masalah sosial dan sebagainya.

Sementara itu, Pengerusi TV Alhijrah, Mohd Khair Ngadiron berkata, perbincangan bersama pengurusan dan unit kandungan telah dan akan diadakan secara berkala bagi memastikan matlamat TV Alhijrah sebagai sebuah penyiar yang mendidik, menghibur dan menyatupadukan ummah dapat dilaksana, seiring melengkapi enam prinsip Malaysia MADANI iaitu; Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

“Kita di TV Alhijrah sentiasa berusaha untuk menyediakan kandungan berilmiah serta menyokong dasar-dasar kerajaan melalui program-program bersesuaian.

“Falsafah Malaysia MADANI akan dikembangkan di TV Alhijrah dan kami juga akan memastikan program Al-Falah di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus disebarluaskan,” kata Mohd Khair. – Alhijrah Online

Penulis adalah Pengurus Berita dan Ehwal Semasa yang juga antara wartawan penyiaran berita terawal di TV Alhijrah sejak penubuhan saluran Islamik itu pada 2010.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply