RAMALAN HARI RAYA AKAN DIBINCANG DALAM JAWATANKUASA MUZAKARAH MKI

Gambar hiasan — fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Ramalan Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bahawa 1 Syawal di kebanyakan negara adalah pada 21 April, akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

“Jadi saya rasa kita kena tunggu. Kita akan bincang di peringkat Jawatankuasa Fatwa, seboleh-bolehnya kita nak mengelakkan apa yang berlaku pada tahun lepas tidak berulang supaya tidak terkejut (sambut raya).

“Saya tidak mahu mendahului dan serah kepada kuasa Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk keputusan,” katanya kepada media selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam melaksanakan program kebersihan, di sini hari ini.

Di Malaysia, pengisytiharan tarikh 1 Syawal dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong yang mewakili Raja-Raja Melayu.

Portal Gulf News melaporkan Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di UAE mengumumkan negara-negara Islam akan menjalankan kewajipan mencerap hilal bagi menentukan awal bulan Syawal pada 20 April yang berkemungkinan menjadi penghujung Ramadan.

Bagaimanapun, menurut laporan itu beberapa negara di Asia termasuk Australia mungkin tidak dapat melihat keadaan anak bulan Syawal dengan mata kasar mahupun menggunakan teleskop khas.

Laporan itu juga memaklumkan kebanyakan negara Islam mungkin mengumumkan permulaan Syawal pada 21 April (Jumaat) sebagai hari pertama Aidilfitri.

Dalam pada itu, ditanya persediaan yang perlu dilakukan umat Islam untuk berdepan sebarang kemungkinan, Mohd Na’im meminta umat Islam agar bersabar kerana penentuan tarikh hari raya terletak kepada kuasa Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

“Bagaimanapun ada satu kaedah dalam syarat yang menyebut ‘tindakan pemerintah yang bertanggungjawab itu didasarkan kepada kepentingan awam’. Jadi saya ingat itu kriteria yang akan digunakan nanti untuk memudahkan rakyat,” katanya. –AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply