KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan One Nation Emcees, Nur Hasan Balas atau lebih dikenali sebagai Jojo, 50, meninggal dunia selepas rebah di Masjid Sri Petaling hari ini.
Berita duka itu dikongsi menerusi hantaran Facebook oleh salah seorang rakan Allahyarham, Mohd Hafizul.
Menurut Mohd Hafizul, Allahyarham yang sedang menghadiri program perjumpaan tabligh dikatakan rebah ketika bacaan Ta’alim dan disahkan meninggal dunia di masjid berkenaan.
“Assalamualaikum semua, bagi yang mengenali Jojo, sahabat saya telah pun kembali kepada pencipta dan meningga; dunia dalam masjid ketika usaha dakwah.
“Moga syahid dan dimuliakan Allah SWT dan Rasulullah SAW ke atas arwah,” katanya.
Difahamkan Allahyarham pernah diserang angin ahmar sebelum ini.
Jojo dilaporkan mula aktif bersama jemaah tabligh sekitar tahun 2020 selepas memutuskan untuk meninggalkan dunia seni. –AlHijrah Online