KUALA LUMPUR: Hari Arafah, kemuncak ibadah haji yang mana berkumpulnya seluruh umat Islam dari segenap pelusuk dunia di padang Arafah pada setiap 9 Zulhijah, dengan mengabdikan diri kepada Rabbul Jalil.
Stesen televisyen Islamik negara, TV AlHijrah menampilkan program Munajat Arafah bagi mengambil keberkatan hari teragung itu, yang diisi dengan zikir, bacaan al-Quran, takbir serta qasidah pilihan.
Munajat Arafah yang bersiaran langsung pada Jumaat 6 Jun bermula jam 5 petang itu menampilkan barisan asatizah terkemuka antaranya Ustaz Sharizan Daud at-Turabi, Prof. Madya Datuk Farid Ravi, Prof. Datuk Dr. Izhar Ariff, Ustaz Zul Ramli dan Ustaz Hassan Adli Yahaya.
Turut menghidupkan Munajat Arafah, penyampaian monolog oleh pelakon Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, alunan ayat suci al-Quran daripada qari Ustaz Husaini Mahmur, serta alunan qasidah daripada kumpulan nasyid Ar-Rayyan.
Dengan berdurasi dua jam, Munajat Arafah akan membawakan kisah Taubat Adam dan Hawa, Keagungan hari Arafah, pengorbanan nabi Ibrahim serta Khutbah Arafah.
Ayuh bersama bermunajat kepada Allah menerusi Munajat Arafah pada Jumaat 6 Jun bermula jam 5 petang, di TV AlHijrah saluran 114 dan platform digital TV AlHijrah serta AlHijrah Plus.—AlHijrah Online