REPLIKA CAPAL HANYA HIASAN AGAMA

LENGGONG: Susulan dakwaan sebuah madrasah di Perak menempatkan replika papan kayu berbentuk capal pada hadapan mihrab surau pusat pengajian agama tersebut, Mudir madrasah terbabit, Ahmad Rozaini Abdul Rahman An-Nuuri menafikan dakwaan pihaknya taksub dengan replika tersebut.

Sebaliknya ujar beliau, replika tersebut digunakan hanya untuk tujuan hiasan sudut bahagian imam yang dijadikan studio untuk ceramah agama harian beliau.

“Ruang imam ini dijadikan studio untuk ceramah agama saya, kuliah Subuh dan Maghrib pula kita buat setiap hari dan ada disiarkan secara langsung di Facebook.

“Jadi saya letakkan replika capal ini untuk tujuan hiasan, malah ia turut dipasang dengan lampu dengan tujuan untuk mencantikkan ruang ketika ceramah,” katanya ketika ditemui TV AlHijrah di surau tersebut.

Ujar Ahmad Rozaini, ruang imam itu dijadikan studio untuk ceramah agamanya sejak setahun yang lalu dan replika terbabit dipasang bagi mencantikkan ruang dan bukan digunakan untuk tujuan menyembah.

Katanya, penjelasan telah diberikan kepada pihak Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNP) berhubung isu tersebut.

Pihak JMNP ujarnya berpuas hati dengan penjelasan tersebut dan beliau tidak menerima sebarang arahan untuk menurunkan replika capal terbabit.

Malah Ahmad Rozaini yang mahir bertukang sangat mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang berhasrat untuk menempah replika tersebut sebagai hiasan.

“Saya alu-alukanlah jika ada yang berminat, sekurang-kurangnya hasil upah itu nanti boleh digunakan untuk menyiapkan proses naik taraf surau ini.

“Boleh juga beri keselesaan kepada penduduk sekitar yang datang untuk menunaikan solat atau mengikuti kuliah dan ceramah di sini,” katanya

Sementara itu Bahagian Fatwa JMNP dalam satu kenyataan semalam berkata hiasan capal itu disarankan untuk dialihkan ke suatu ruang yang lebih munasabah dan bersesuaian.

Ujar kenyataan itu langkah tersevbut bagi mengelak perkara atau tanggapan yang berunsur fitnah oleh pihak lain.

Siasatan awal mendapati simbol itu diletakkan di bahagian mihrab setahun yang lalu dan perbuatan itu diakui pihak pengurusan madrasah atau surau berkenaan sebagai hanya sekadar untuk hiasan.– AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply