RUMAH TERBUKA MALAYSIA MADANI UNTUK RAKYAT, BUKAN PEMBAZIRAN – PM ANWAR

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama para jemaah selepas beliau selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, hari ini. –fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak dakwaan yang mengatakan bahawa penganjuran majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI sempena Aidilfitri di enam negeri sebagai pembaziran mahupun tindakan ‘menunggang agama’.

Perdana Menteri berkata program itu bukan dilaksanakan atas kapasiti peribadi, sebaliknya dianjurkan kerajaan sebagai usaha mendampingi dan menyantuni rakyat.

“Kerajaan di mana-mana pun akan buat (majlis rumah terbuka), bukan membazir kerana kita beri makan kepada rakyat. Bagi saya ia tidak membazir.

“Kalau buat atas kapasiti peribadi termasuk keluarga, wajarlah guna wang dari poket sendiri, tetapi ini (anjuran) kerajaan untuk rakyat dan (perbelanjaan) jauh lebih murah (jika) buat di Alor Setar, Kedah berbanding di Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jaminul Ehsan, Kampung Kubu Gajah di Sungai Buloh di sini yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) mempertikaikan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI bersama Perdana Menteri di enam negeri yang disifatkan sebagai keterlaluan.

Majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri akan diadakan di Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu, dengan Kedah menjadi lokasi pertama esok.

Ditanya mengenai dakwaan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak dijemput ke majlis yang berlangung esok, Anwar berkata beliau difahamkan pihak penganjur sudah menghantar jemputan kepada Menteri Besar Kedah itu.

“Saya difahamkan (Muhammad Sanusi) dijemput…Tuanku (Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah) akan berangkat (esok), jadi MB (Menteri Besar) pun dijemput,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata persiapan Rumah Terbuka Malaysia MADANI di Kedah yang akan berlangsung di Hotel Raia, Alor Setar esok amat baik, dan beliau dijadualkan meninjau persiapan akhir majlis berkenaan petang ini. –AlHijrah Online

Leave a Reply