SAMBUTAN MAAL HIJRAH PERINGKAT KEBANGSAAN 19 JULAI INI DI WTCKL

KUALA LUMPUR: Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1445H / 2023M akan diadakan pada 19 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445H bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan untuk berangkat bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke majlis tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri juga dijadual hadir bagi menyemarakkan lagi majlis sambutan pada tahun ini yang akan bermula pada jam 9.00 pagi.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata kerajaan telah memilih tema “Perpaduan Teras Malaysia Madani” bagi Sambutan Maal Hijrah tahun ini.

“Tema ini adalah manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW dan ia merupakan satu tema yang sangat signifikan kepada umat Islam termasuk masyarakat bukan Islam di negara ini.

“Perpaduan merupakan tunjang kepada masyarakat madani, yang maju bukan hanya dari segi kebendaan tetapi juga fikrah dan kerohanian. Sekiranya Allah berkehendak, nescaya semua manusia dijadikan-Nya satu umat sahaja, namun sebaliknya Allah hendak menguji manusia dengan mencipta segala kepelbagaian.  

“Justeru, wujud kepelbagaian keupayaan dan keinginan, profesion dan pekerjaan; dan manusia diseru agar berlumba-lumba berbuat kebajikan, bukannya merosakkan dan bermusuhan antara satu dengan yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, pada majlis tersebut akan diumumkan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.

Kriteria tokoh yang dipilih adalah berdasarkan kepada sumbangan besar dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam selain mendapat pengiktirafan serta diterima oleh masyarakat dalam dan luar negara.

Majlis itu nanti akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM dan disambung siar oleh TV Al-Hijrah serta Facebook dan Youtube JAKIM. 

Radio Nasional FM, Radio IKIM dan Web TV JAKIM turut membuat liputan secara langsung. Selain itu, beberapa radio RTM juga membuat lintas langsung iaitu Ai FM (Mandarin), Traxx FM (B. Inggeris), Minnal FM (Tamil) dan Asyik FM (Radio Orang Asli).

Sementara itu Hakimah memaklumkan sempena sambutan Maal Hijrah, Majlis bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun akan diadakan di Masjid Negara Kuala Lumpur pada 18 Julai 2023 jam 7.00 malam yang akan dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. – AlHijrah Online

Leave a Reply