KUALA LUMPUR: Sesuai dengan perjuangan dakwah, TV AlHijrah memilih masjid yang merupakan tempat ibadah dan penyatuan ummah, sebagai lokasi sambutan ulang tahun ke-15 stesen televisyen Islam pertama negara itu.
Ulang tahun TV AlHijrah tahun ini menampilkan kelainan apabila diraikan dalam suasana terbuka bersama masyarakat menerusi Karnival Al-Falah MADANI Indera Mahkota 2025.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, sambutan ini mencerminkan pendekatan baharu stesen televisyen Islam itu dalam menyantuni masyarakat.
“Kami memilih untuk bersama masyarakat Indera Mahkota dalam suasana yang memperkukuh ukhuwah dan nilai Islam kerana inilah wajah sebenar TV AlHIjrah yang berdakwah melalui pendekatan yang mendidik, menyentuh dan merakyat.
“Lima belas tahun ini bukan penamat, tetapi permulaan kepada peranan yang lebih besar. TV AlHijrah akan terus berkembang bukan sahaja sebagai penyiar, tetapi sebagai pemudah cara kepada masyarakat dalam membina kefahaman Islam yang progresif, rahmah dan menyatu. Kuncinya ialah kami perlu kekal dekat dengan ummah,” tambahnya.
Acara yang berlangsung selama tiga hari dari 27 hingga 29 Jun ini diadakan di Masjid Jamek Beserah, Kuantan, Pahang dengan kemuncak sambutan bakal berlangsung pada malam hari Jumaat, menerusi program siaran langsung eksklusif Hijrah Berselawat, jam 9.00 hingga 11.00 malam.
Program ini menghimpunkan elemen selawat, tausiyah dan persembahan seni Islamik yang menyentuh jiwa diterajui dua pengacara utama, Syamsul Debat dan Shamsul Ghau-Ghau, dengan pendekatan santai namun penuh dengan mesej dakwah.
Barisan pendakwah yang akan mengisi program termasuklah PU Rozi Harun, Ustaz Tariq Jaffri, Ustaz Hassan Basri Ali, Ustaz Ahmad Tirmizi Haji Ali dan Ustaz Nadir Al Nuri. Persembahan selawat dan nasyid pula akan disampaikan oleh Al-Maqari, Lah Ahmad, Zaff VE dan Usop Kopratasa.
Selain program siaran langsung, TV AlHijrah turut menyediakan reruai interaktif sepanjang tiga hari karnival berlangsung.
Antara pengisian menarik ialah sesi pertemuan bersama personaliti, kuiz keagamaan, permainan silang kata jawi serta edaran cenderamata eksklusif sempena ulang tahun ke-15.
Karnival Al-Falah MADANI yang diadakan bersempena sambutan Maal Hijrah 1447H turut menampilkan pelbagai program melibatkan tokoh agama, selebriti dakwah, kuliah perdana, rakaman Forum Hal Ehwal Islam, Jelajah MADANI Ulama dan Umara, sesi bantuan komuniti serta aktiviti kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Program ini dijangka bakal menarik ribuan pengunjung dari seluruh negeri Pahang dan kawasan sekitarnya, menjadikannya antara acara komuniti Islam terbesar di Pantai Timur tahun ini.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan karnival ini, bukan hanya sebagai penonton, tetapi sebagai sebahagian daripada semangat hijrah. —AlHijrah Online