SEMUA PELAJAR KAFA WILAYAH PERSEKUTUAN LAYAK SKIM PINJAMAN BUKU TEKS

KUALA LUMPUR: Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) diberikan kepada semua murid KAFA di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak yang layak dengan keutamaan diberikan kepada anak-anak asnaf dan golongan B40.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam kenyataannya memaklumkan inisiatif terbaharu ini bakal memberikan manfaat kepada 33,818 orang murid.

“Keseluruhan nilai bantuan berjumlah RM1.8 juta itu diberikan melalui peruntukan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga, mengurangkan dan mengatasi masalah keciciran pembelajaran agama serta meningkatkan keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam kalangan murid KAFA,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut JAWI fasa pertama skim bantuan tersebut telah selesai dilaksanakan pada Mac lalu melibatkan edaran 46,550 naskhah buku teks kepada 12,221 murid tahun 1 dan 2 merangkumi tujuh subjek KAFA iaitu Adab, Akidah, Bahasa Arab, Ibadah, Jawi dan Khat, Sirah dan Tilawah al-Quran dengan keseluruhan kos bernilai RM691,005.

JAWI memaklumkan agensi agama tersebut sentiasa melaksanakan peranan penting dalam memberikan perkhidmatan pendidikan Islam dan pengajian Al-Quran dan fardhu ain kepada masyarakat Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan melalui lima buah Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ), 71 buah Sekolah Rendah Agama (SRA) dan 130 KAFA.

Sementara itu hari ini berlangsung satu Majlis Apresiasi Kunjung Serah SPBT KAFA bertempat di KAFA Masjid Az Zubair Ibnul Awwam, Kuala Lumpur yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad dan Pengarah JAWI Mohd Ajib Ismail. – AlHijrah Online

Leave a Reply