SEMUA PIHAK DISERU AKUR TITAH SULTAN SELANGOR, HORMAT KEPUTUSAN MAHKAMAH PERSEKUTUAN DAN PERLEMBAGAAN

KUALA LUMPUR: Semua pihak diseru untuk akur kepada titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah agar keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dihormati serta Perlembagaan Persekutuan didokong sebagai undang-undang utama negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya akan sentiasa memberikan ruang penuh kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Jawatankuasa itu dipengerusikan mantan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi untuk mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Kesemua cadangan Jawatankuasa Khas ini akan dikemukakan kepada MKI dan seterusnya diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenankan.

“Semua pihak adalah diseru untuk bertenang serta tidak melakukan apa-apa provokasi yang boleh mengundang kepada keresahan awam sementara menantikan cadangan daripada Jawatankuasa Khas ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sultan Selangor yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berkenan berangkat ke Mesyuarat MKI Kali ke-71 yang berlangsung hari ini, 15 Februari 2024.

Mohd Na’im berkata seperti dititahkan Sultan Selangor, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menggerakkan seluruh jentera pentadbiran hal ehwal Islam untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Selain itu pihaknya akan terus berusaha memperkukuh dasar serta program pendidikan tahfiz dalam negara termasuk penekanan kepada penguasaan mata pelajaran bahasa Arab dikalangan para pelajar tahfiz agar fasih dan berkemahiran untuk mentafsirkan ayat-ayat suci Al-Quran secara tepat.

“Dalam pada masa sama, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjunjung tinggi titah Sultan Selangor supaya setiap perbezaan pandangan perlulah diselesaikan secara musyawarah, tertutup serta meraikan perbezaan pandangan secara ilmiah dan berhemah,” katanya.

Tambahnya titah Sultan Selangor telah menatijahkan kekuatan agama Islam dan umat Islam di negara ini dan melalui peranan MKI, ia telah memperkukuh kesatuan dan perpaduan umat Islam. – AlHijrah Online

Leave a Reply