SERPIHAN KAPAL DITEMUKAN, LIMA PENUMPANG KAPAL SELAM TITAN DIPERCAYAI MAUT

LONDON: Pengemudi dan empat penumpang kapal selam persiaran Titan yang hilang dipercayai maut, lapor agensi berita (dpa) Jerman.
OceanGate Expeditions berkata jurumudi dan ketua eksekutifnya, Stockton Rush – bersama warga Britain Hamish Harding, warga Pakistan Shahzada Dawood dan anaknya Suleman Dawood, dan warga Perancis Paul-Henri Nargeolet “malangnya tiada lagi”.
Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) berkata lima “serpihan utama” dari kapal selam persiaran itu telah ditemukan.
Ia termasuk sebahagian daripada kapal selam itu, kon muncung, kerangka hadapan dan belakang, katanya pada sidang akhbar di Boston pada Khamis.
Kenderaan kawalan jauh menemui medan serpihan di dasar laut Lautan Atlantik Utara sekitar 490 m dari bahagian depan (bow) Titanic pada pagi Khamis.
Mereka menyertai ekspedisi ke bangkai Titanic, yang terletak pada kedalaman 3,800 meter dan 700 kilometer selatan St John’s, Newfoundland.
Laksamana Pengawal Pantai AS John Mauger berkata serpihan itu “konsisten dengan letupan dahsyat kapal berkenaan”.
“Ia merupakan operasi yang sangat kompleks di dasar laut yang lebih dua batu di bawah permukaan.”
Pakar dasar laut Paul Hankin berkata: “Kami menemukan lima serpihan utama yang menunjukkan ia adalah bangkai Titan.
“Serpihan awal kami temui adalah kon muncung yang berada di luar kapal selam itu. Kami kemudiannya menemukan medan serpihan yang besar.
“Dalam medan itu, kami menemui hujung bahagian hadapan kapal selam itu yang merupakan petunjuk pertama berlakunya bencana.
“Tidak jauh dari situ, kami menemukan medan serpihan kedua yang lebih kecil. Dalam medan serpihan ini, kami mendapati hujung satu lagi kapal selam itu – hujung bulat muncung belakang – yang pada asasnya merupakan keseluruhan kapal selam itu.” —AlHijrah Online