Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

SINDIKET KETUM GUNA KENDERAAN PERDAGANGAN SELUDUP BEKALAN

DALAM NEGARA

SINDIKET KETUM GUNA KENDERAAN PERDAGANGAN SELUDUP BEKALAN

GERIK: Menggunakan kenderaan perdagangan dengan nombor pendaftaran palsu.

Itu taktik licik digunakan sindiket pengedaran ketum bagi menyeludup bahan terlarang tersebut.

Helah itu bagaimanapun terbongkar selepas polis daerah Gerik mematahkan cubaan menyeludup empat tan daun ketum bernilai RM120,000 di sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 9, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik-Jeli berhampiran Sungai Lebey, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, polis menahan sebuah lori tiga tan dipandu lelaki berusia 31 tahun ketika pemeriksaan pada pukul 7 petang.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori itu polis telah menjumpai 400 bungkus plastik hitam berisi 4,000 kg daun ketum dengan nilai pasaran dianggarkan berjumlah RM120,000.

“Modus operandi yang telah kita kenal pasti yang dilakukan oleh penjenayah ini adalah mereka menggunakan lori perdagangan bagi mengaburi pihak berkuasa, seolah-olah mereka menjalankan aktiviti perdagangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, hari ini.

Menurut Superintenden Zulkifli, sindiket terbabit didapati turut mengupah tonto yang berperanan sebagai pemberi maklumat dan berada di sekitar kawasan sjr untuk memerhati pergerakan pihak berkuasa.

“Siasatan ke atas pemandu berasal dari Kelantan itu mendedahkan terdapat lagi dua lelaki dipercayai tonto menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger.

“Berdasarkan maklumat itu, kita telah mengesan dan mengekori kenderaan berkenaan sejauh 30 kilometer sebelum ia terbabas di tepi jalan dekat Banding,” katanya.

Siasatan juga mendapati sindiket itu juga merancang menukar pemandu lori dan nombor pendaftaran kenderaan selepas SJR sebelum mereka memasuki Kelantan.

Ujar beliau, bekalan daun ketum itu diambil dari Kedah untuk dibawa ke Kelantan sebelum diagihkan ke kawasan tertentu bagi pasaran tempatan.

Superintenden Zulkifli berkata, pemandu lori dan dua tonto masing-masing berusia 43 dan 35 tahun telah ditahan.

Ketiga-tiga suspek kini direman empat hari bermula semalam sehingga Ahad ini untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.- AlHijrah Online / Hamimah Hamid


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading