EMPAT PENJENAYAH DITEMBAK MATI POLIS JOHOR

BATU PAHAT: Empat lelaki dipercayai warga asing mati ditembak dalam kejadian pergelutan dan berbalas tembakan dengan pihak polis.

Dalam kejadian di Jalan Pagoh-Parit Sulong, Batu Pahang pada jam 3.15 pagi tadi, seorang pegawai polis turut cedera di bahagian tangan akibat ditikam suspek menggunakan pisau kerambit.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata sebelum kejadian pihak polis menahan dua buah kenderaan jenis Produa Myvi dan Toyota Avanza yang mencurigakan untuk membuat pemeriksaan.

“Apabila pihak polis cuba rapat untuk membuat pemeriksaan, tiba-tiba penumpang Toyota Alza bertindak agresif mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Batu Pahat di sini pada Jumaat.

Suspek katanya turut menikam seorang anggota polis ketika cuba melepaskan diri daripada ditahan.

Susulan situasi itu, polis telah membalas tembakan dan serangan suspek untuk mempertahankan diri sehingga tiada lagi ancaman.

Siasatan mendapati semua penjenayah tidak memiliki pengenalan diri dan pemeriksaan di tempat kejadian serta dalam bonet kereta menemukan sepucuk revolver hitam berisi enam kelongsong peluru; empat peluru jenis 38 SPL; dua bilang parang dan satu pisau kerambit.

Polis percaya kumpulan itu aktif melakukan samun dan pecah masuk premis pejabat dan kilang di sekitar Johor.

Menurut Ayob, bedah siasat suspek akan dilakukan di hospital Kluang dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta menghalang tugas penjawat awam. – AlHijrah Online

Leave a Reply