SPRM TAHAN TIGA PENGUATKUASA MBSA CAWANGAN SUNGAI BULOH DISYAKI TERIMA RASUAH

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan tiga penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) cawangan Sungai Buloh kerana disyaki menerima rasuah.

Bernama melaporkan, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, tiga penguatkuasa itu disyaki menerima rasuah bulanan bagi melindungi premis perniagaan tanpa lesen.

Harian Metro pula melaporkan penguatkuasa yang ditahan berusia antara 41 hingga 49 tahun dan dipercayai menerima rasuah sebanyak RM300 hingga RM3,500 sebulan.

Mereka ditahan dalam satu operasi khas SPRM ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya malam tadi.

Semalam SPRM memaklumkan akan menyiasat dakwaan terdapat pihak berkuasa yang cuba melindungi perniagaan haram di sekitar Sungai Buloh.

Ia selepas tular video di Facebook yang dimuat naik seorang lelaki mendakwa wujud kegiatan perniagaan haram termasuk penjualan rokok seludup dan aktivti perjudian di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh. — AlHijrah Online

Leave a Reply