SPRM JANGKA AKAN ADA LAGI TANGKAPAN, UCAP TERIMA KASIH PENJUAL BURGER

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjangkakan akan ada lagi tangkapan yang dibuat berhubung kes rasuah penguatkuasa bagi melindungi kegiatan haram penjualan rokok seludup dan aktiviti perjudian di Sungai Buloh, Selangor.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki turut mengucapkan terima kasih kepada pemberi maklumat yang berani tampil.

“Saya jangka mungkin ada lagi tangkapan dan saya ucap terima kasih kepada pemberi maklumat atau pengadu yang berani tampil ke hadapan.

“Saya minta semua sabar dan di peringkat kami akan menjalankan penguatkuasaan di bawah bidang kuasa kami,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program SPRM PUBG Mobile i-Challenge di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya hari ini.

Beliau memaklumkan setakat ini individu yang ditahan hanya melibatkan penguatkuasa MBSA.

“Saya tidak menolak kemungkinan mungkin ada melibatkan penguatkuasa yang lain.

“Mana-mana pihak yang terlibat itu sudah tentu kita akan siasat,” katanya.

Azam bagaimanapun tidak menyebut penguatkuasa mana lagi yang berkemungkinan akan ditahan.

Dalam pada itu Azam tidak menafikan wujud kegiatan haram yang dilindungi pihak berkuasa di kawasan lain.

“Saya tak nafikan yang kami terima maklumat dari seluruh negara berhubung kegiatan perjudian, rumah urut dan sebagainya yang dilindungi pihak berkuasa.

“Namun dalam kita nak siasat rasuah ini, kita perlukan bukti dan sokongan keterangan saksi,” katanya.

Beliau juga memaklumkan kegiatan rasuah penguatkuasa bagi melindungi kegiatan haram berleluasa di seluruh negara. — AlHijrah Online

Leave a Reply