SUAMI ISTERI MAUT DIKELAR ANAK YANG TERBABIT AJARAN SESAT

LIPIS: Sepasang suami isteri maut selepas dikelar anak lelaki mereka di Kampung Kemahang Hulu, Lipis, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azly Mohd Noor berkata mayat mangsa yang berusia 64 dan 68 tahun itu, ditemui penduduk kampung selepas menahan anak pasangan terbabit dalam keadaan bogel dan berlumuran darah di jalan utama yang terletak kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian.
Berdasarkan siasatan awal pihak polis, suspek yang berusia 31 tahun itu menggunakan senjata untuk mengelar leher dan menetak kedua-dua mangsa.
Suspek yang tidak bekerja dipercayai terbabit dengan ajaran sesat hingga hilang pertimbangan dan membunuh ibu dan bapanya sendiri.
Tambah Superintendan Azly, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 11.55 malam dan hasil soal siasat dijalankan mendapati kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 10.30 malam ketika suspek dan mangsa berbual di ruang tamu rumah itu.
Suspek dikatakan menceritakan kepada mangsa mengenai ilmu agama dan ketuhanan sebelum suspek bertindak mengambil parang dari biliknya dan mula menetak leher bapanya itu.
Mayat bapa suspek ditemui terbaring dan berlumuran darah di dalam rumah, manakala mayat ibu suspek pula ditemui tidak bernyawa berhampiran pagar rumah berkenaan.
Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – AlHijrah Online