SUBURKAN DIALOG ANTARA NGO DAN KEDUTAAN PALESTIN DI MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa agar platform dialog disuburkan di antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kedutaan Palestin di Malaysia demi membela hak-hak demokrasi dan kebajikan mereka.

Penolong Setiausaha Agung MBM, Atiqah Syairah Shaharuddin berkata perkara ini penting serta wajar disegerakan, dan rakyat Palestin dilihat semakin dihimpit pasca ‘Deal of Century’ yang bakal menimbulkan lebih banyak konflik.

“Sekarang adalah ruang kesepakatan antara kesemua pihak, yang harus digembleng untuk membantu dan memastikan akses bantuan berterusan kepada golongan yang memerlukan. Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan beberapa media sebelum ini mengenai kenyataan Duta Palestin di Malaysia Walid Abu Ali yang mendakwa sumbangan rakyat Malaysia untuk tujuan pembangunan dan pembebasan Masjid Al-Aqsa tidak sampai kepada Jabatan Wakaf Baitulmaqdis yang ditadbir oleh Kementerian Wakaf Jordan dan pihak berkuasa Palestin.

Jelas Atiqah Syairah, pihaknya yakin dan percaya pejabat kedutaan Palestin serta pihak NGO tempatan mempunyai intipati asas dalam mengeluarkan pendapat dan komen, namun demikian, harus wujud satu laras kefahaman antara mereka.

“Antara cadangan awal yang perlu diperbaiki adalah di dalam aspek terma dan syarat bantuan yang dihantar oleh NGO serta rekod dan dokumentasi yang lebih telus.  Hal ini juga tertakluk kepada pihak autoriti yang memberikan ruang sepadan kepada kumpulan NGO serta tidak merumitkan dengan isu birokrasi sumbangan yang disalurkan,” tambahnya. — BERNAMA

Leave a Reply