SUDAH TIBA MASA STESEN TV, SYARIKAT PRODUKSI WUJUDKAN JABATAN PEMATUHAN SYARIAH

BANGI: Stesen televisyen serta syarikat produksi dicadang untuk mewujudkan jabatan pematuhan syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata langkah itu sebagai salah satu usaha menyediakan kandungan hiburan yang bertepatan dan berlandaskan agama.

“Memang hiburan itu adalah satu fitrah, tetapi biarlah hiburan itu bertepatan dan berlandaskan agama dan syariat.

“Saya kira sudah tiba masanya setiap stesen tv dan syarikat produksi mewujudkan jabatan pematuhan syariah untuk menyemak, menapis, memantau semua skrip dan kandungan sebelum disiarkan,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini selepas bertemu para pemain industri penyiaran di Bangi.

Dalam pertemuan itu beliau menzahirkan kerisauan terhadap pelbagai aktiviti hiburan yang tidak menepati garisan Islam dan kecenderungan masyarakat yang tidak dididik dalam berhibur.

“Peluang saya bertemu dengan para pemain industri penyiaran ini adalah satu peringatan bersama untuk menjayakan agenda yang lebih baik dalam mendidik masyarakat terhadap isu-isu hiburan yang melampau dan tidak hanya melihat kepada keuntungan semata-mata.

“Isu moral yang dibina untuk masyarakat Malaysia terutamanya anak muda perlu dititik berat dalam dunia penyiaran ini,” katanya.

Menurut Idris berdasarkan maklum balas dari pemain industri, rancangan dan siaran yang mempunyai kandungan berunsur Islamik serta bertepatan dengan syariat agama mempunyai jumlah penonton yang tinggi.

Oleh itu beliau berharap lebih banyak kandungan berunsur Islamik akan diterbitkan dan perbincangan hari ini dapat memberi nafas baru kepada dunia penyiaran negara terutama dalam penerapan nilai-nilai agama. – AlHijrah Online

Leave a Reply