Tangguh bentang RUU Akta Gangguan Seksual

Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Akta Gangguan Seksual tidak akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat Mac depan bagi meneliti semula secara menyeluruh hasil kajian impak.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh mahu akta itu nanti dapat diguna pakai dengan skop yang lebih besar sekaligus memberi perlindungan secara menyeluruh, lapor Sinar Online.

“Ini kerana gangguan seksual bukan hanya berlaku di tempat kerja tetapi juga di sekolah, universiti malah juga di rumah,” katanya kepada pemberita ketika lawatan ke SMK Sains Seri Puteri, di sini, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya akan mengambil langkah lanjut dengan melakukan konsultasi bersama badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan termasuk mangsa gangguan seksual bagi melengkapkan rang undang-undang berkenaan.

“Bagaimanapun kita memang sasarkan untuk dibentangkan pada tahun ini,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, Hannah dilaporkan berkata akta berkenaan akan digubal bagi menangani jenayah terbabit di tempat kerja dan hasil kajian impak akan dijadikan panduan menggubal akta itu.

Menurut laman web Parlimen, Dewan Rakyat dijadualkan bersidang pada pada tiga sesi mesyuarat pada tahun ini iaitu 11 Mac hingga 11 April, 1 Julai hingga 18 Julai dan 7 Oktober hingga 5 Disember.

Dalam pada itu, Hannah menyambut baik cadangan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah, agar mewajibkan sesi kaunseling terhadap ibu bapa yang anak mereka terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

Ujarnya ia penting mengambil kira risiko kanak-kanak yang boleh menjadi mangsa kepada individu terlibat dengan penyalahgunaan dadah sebagaimana beberapa kes yang berlaku kebelakangan ini.

Leave a Reply