TAULIAH MUDIR, PENGURUSAN TAHFIZ: MAHFUZ

SUMBER FOTO SINAR HARIAN

SUNGAI PETANI: Kementerian Sumber Manusia mencadangkan tenaga pengajar dan pengurusan maahad tahfiz ditauliahkan melalui persijilan yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, pengiktirafan boleh ditauliahkan berdasarkan pengalaman sedia ada termasuk melepasi ujian tertentu bagi melahirkan tenaga pengajar yang kompeten dan pihak pengurusan yang efisyen.

Menurutnya, dalam usaha melahirkan pelajar tahfiz berkemahiran melalui Program Pendidikan Dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini dalam perancangan, tenaga pengajar di pusat tahfiz juga perlu dinaik taraf.

“Untuk tenaga pengajar, saya cadang kepada Jabatan Agama Islam selepas ini mereka ini boleh dibuat ujian tertentu yang boleh diberikan persijilan, kemudian tenaga pengajar boleh pergi ke satu tahap lagi ialah untuk Program Sijil Pengajar Vokasional,” katanya.

Beliau ditemui semasa hadir ke Majlis Taklimat Pelaksanaan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia kepada Institusi Pendidikan Islam Negeri Kedah di Maahad Tahfiz Ahmadiah, Kampung Haji Ngah Bedong semalam.

Katanya, pengiktirafan bertujuan mewujudkan tenaga pengajar berkebolehan dalam usaha melahirkan pelajar berkemahiran bukan sahaja dalam bidang pengajian al-Quran malah mendalami bidang teknikal dan sebagainya.

Sementara itu, Exco Agama Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, Kedah bersedia melaksanakan pengajian TVET di pusat tahfiz, tahun hadapan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengenal pasti jumlah pelajar serta pusat tahfiz yang berminat untuk mengikuti bidang kemahiran selain mengadakan perbincangan dengan institusi kemahiran berkaitan.

“Setakat ini kita mempunyai 77 pusat tahfiz yang berdaftar di seluruh Kedah, kita akan lihat keupayaan masing-masing, seterusnya, kita akan menawarkan mereka dengan kursus tertentu dan kita lihat banyak mana yang menyahutnya,” katanya. — SINAR HARIAN

Leave a Reply