Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.05 peratus membabitkan pengagihan keuntungan berjumlah RM2.1 bilion kepada semua pendepositnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.
TH dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, jumlah
agihan keuntungan itu adalah RM1.2 bilion lebih tinggi berbanding RM0.9 bilion
bagi tahun kewangan 2018.
TH berkata agihan keuntungan lebih baik itu didokong
prestasi dan kedudukan kewangan yang semakin baik berasaskan strategi pelaburan
mampan serta langkah pengurusan kos secara berhemat.
“Bagi tahun kewangan 2019, TH berjaya menjana pendapatan pelaburan berjumlah RM3.3 bilion, di mana sejumlah RM1.2 bilion telah diperolehi dalam suku keempat.
“Secara keseluruhan, pendapatan pelaburan yang dijana TH adalah lebih stabil di mana pelaburan aset pendapatan tetap menjana 58 peratus pendapatan atau sebanyak RM1.9 bilion manakala pelaburan hartanah, ekuiti dan instrumen pasaran wang Islam masing-masing menyumbang RM0.5 billion (15 peratus), RM0.5 bilion (15 peratus) dan RM0.4 bilion (12 peratus),” kata kenyataan itu.
Kenyataan
itu berkata perubahan strategi pelaburan TH
kepada aset
pelaburan yang lebih stabil turut berjaya mengurangkan tekanan akibat keadaan pasaran
saham yang tidak menentu, antara lainnya, berpunca daripada ketegangan perang
dagangan di peringkat global.
“Pada 31 Disember 2019, kedudukan kewangan TH kekal stabil dengan jumlah aset melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM2.9 bilion (sebelum agihan keuntungan kepada pendeposit) berdasarkan jumlah aset RM74.3 bilion dan jumlah liabiliti RM71.4 bilion.
“Dengan pengurusan kos yang berhemat, TH telah berjaya mencatat keuntungan selepas zakat bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1.9 bilion, iaitu peningkatan 19 peratus atau RM0.3 bilion berbanding RM1.6 bilion bagi tahun kewangan lalu,” kata kenyataan itu.
TH berkata peningkatan keuntungan selepas zakat dicapai selepas mengambil kira RM86 juta bagi
pembayaran zakat kepada majlis agama Islam negeri-negeri di Malaysia dan RM370
juta bagi mengurus dan menyediakan pelbagai kemudahan kepada jemaah haji serta mengekalkan
kadar bayaran haji RM9,980 (berbanding kos sebenar RM22,900) bagi setiap jemaah
haji Muassasah yang menunaikan haji buat kali pertama pada musim haji 1440
hijrah yang lalu.
Pengarah
Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff
dalam kenyataan sama berkata, agihan keuntungan diisytihar TH itu adalah lebihan keuntungan
pelaburan setelah mengambil kira perbelanjaan dan bantuan kos haji, bayaran
zakat dan kos pengurusan.
“Oleh yang demikian, pendeposit TH bukan sahaja mendapat manfaat pulangan keuntungan ke atas simpanan mereka, malah turut menyumbang secara langsung dalam membantu jemaah haji Malaysia menunaikan rukun Islam ke-5 dan golongan asnaf dalam menjaga kebajikan mereka.
“TH membayar zakat bagi pihak pendeposit dan oleh yang demikian pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterimanya,” kata Nik Mohd Hasyudeen.
Beliau
berkata TH akan terus berusaha untuk
menambah manfaat ke atas simpanan pendeposit setelah peralihan kepada kontrak
simpanan Wakalah dengan memperkenalkan pelbagai tambah nilai lain selain
memastikan prestasi pelaburan mampan.
Pendeposit
boleh menyemak pengkreditan agihan keuntungan bermula 16 Mac ini menerusi
kaunter- kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat,
ATM Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB atau secara atas talian di laman
sesawang http://www.thijari.com.my dan portal internet Bank Islam, Bank Rakyat dan
Maybank.
Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) di talian 03-6207 1919. – AlHijrah Online