ICJ GESA PIHAK BERKUASA AMBIL TINDAKAN ISU KASHMIR

ANKARA: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain semalam untuk mendesak India, Pakistan dan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menangani isu hak asasi manusia di Jammu dan Kashmir, demikian laporan agensi berita Anadolu.

Wakil ICJ dan NGO antarabangsa seperti Amnesty International dan Human Rights Watch mengeluarkan kenyataan bersama di PBB dalam isu ini.

Dalam kenyataan itu, organisasi terbabit menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan menghentikan pelanggaran hak asasi manusia di Jammu dan Kashmir.

“Organisasi kami menyatakan keprihatinan serius terhadap situasi hak asasi manusia di Jammu dan Kashmir, di mana pihak berkuasa mengenakan sekatan yang teruk selepas membatalkan autonomi perlembagaan pada 5 Ogos 2019, termasuk penutupan internet paling lama di dunia, yang mana Mahkamah Agung India menyatakan ia melanggar hak kebebasan bersuara,” kata kenyataan bersama itu.

Organisasi terbabit berkata ratusan ditahan selain tuduhan serius layanan penderaan terhadap tahanan,  termasuk dakwaan kes-kes penyeksaan.

“Tiga bekas ketua menteri, ahli politik terkemuka dan pemimpin pemisah serta penyokong mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Awam (PSA) dan undang-undang menindas lain, tanpa perbicaraan dan mereka ditahan di lokasi tidak didedahkan di luar Jammu dan Kashmir,” kata kenyataan itu.

Pertubuhan itu mendakwa tindakan ini melanggar perbicaraan yang adil terhadap sistem keadilan jenayah dan merendahkan akauntabiliti, ketelusan dan tidak menghormati hak asasi manusia.

“Wartawan dan pembela hak asasi manusia juga diancam kerana mengkritik penahanan itu. Pelanggaran hak ini, seperti dilakukan selama beberapa dekad yang lalu, dipenuhi dengan kekecewaan yang kronik,” kata mereka.

Pihak terbabit menggesa Kerajaan India memastikan pemerhati bebas, termasuk semua pembela hak asasi manusia dan wartawan asing diberi akses sewajarnya untuk melaksanakan tugas mereka dengan bebas dan tanpa rasa takut, melepaskan semua yang ditahan tanpa pertuduhan dan menghapuskan pembatasan hak-hak kebebasan bersuara dan kebebasan pergerakan, termasuk di mana mereka dinafikan hak untuk meninggalkan negara dengan diletakkan di bawah ‘Senarai Kawalan Keluar’.

“Kami juga menyeru kerajaan India dan Pakistan untuk memberikan akses tanpa syarat kepada OHCHR dan mekanisme hak asasi manusia yang lain ke Kashmir,” kata kenyataan bersama itu merujuk kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (OHCHR).

Mereka juga menggesa penubuhan mekanisme penyiasatan antarabangsa bebas terhadap jenayah yang lalu dan berlaku ketika ini di bawah undang-undang antarabangsa dan pelanggaran hak asasi manusia oleh semua pihak berkenaan di Kashmir seperti disyorkan Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia. — Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply