SUARA IBU GURU PERTAMA QARIAH BUTA BELAJAR AL-QURAN

KAJANG: Suara ibu adalah guru pertama saya! Itu kata Nur Hidayah Mohd Yunus yang menghafaz al-Quran sekalipun dilahirkan dengan cacat penglihatan.

Kekurangan itu tidak pernah mematahkan semangat wanita berusia 26 tahun itu untuk mengenal kalam Allah sepertimana individu sempurna, sehinggalah beliau mampu membaca al-Quran menggunakan tulisan Braile.

Di usia kecil, qariah yang turut mengalunkan bacaan al-Quran dalam program Maidatul Quran disiarkan di TV AlHijrah jam 9 malam setiap Jumaat itu, mengenal al-Quran dengan mendengar bacaan ibunya yang mengajar anak-anak jiran.

“Saya belajar mengaji al-Quran sejak kecil di rumah bersama ibu saya dan juga kanak-kanak lain kerana ibu juga mengajar anak-anak jiran,” kata Nur Hidayah yang kini mengikuti pengajian ijazah sarjana muda Al-Quran di sebuah institusi pengajian tinggi.

“Waktu saya kecil, saya hanya mendengar setiap ayat itu dengan menghafal cara sebutan ayat dan banyak mendengar hafazan-hafazan daripada qari dan qariah kegemaran saya.

“Itu cara saya belajar mengaji pada waktu kecil sebelum menghafaz menggunakan al-Quran dengan tulisan Braile.

“Belajar menghafaz menggunakan Braile rasa berbeza kerana saya perlu betul-betul rasa tulisan itu menggunakan jari,” katanya kepada wartawan AlHijrah Online di sini baru-baru ini.

Qariah orang kelainan upaya (OKU) itu berkata beliau turut mendengar bacaan qari dan qariah kegemarannya di Youtube untuk memperbaiki bacaannya.

Ditanya mengenai pembabitannya di dalam Maidatul Quran, Nur Hidayah berkata beliau amat berbangga kerana diundang menyertai program yang membudayakan al-Quran di kaca TV itu.

“Alhamdulillah, saya menerima jemputan untuk bersama program ini,” katanya menjelaskan beliau diundang menyertai Maidatul Quran melalui seorang ustaznya sebelum menjalani sesi rakaman hujung tahun lalu.

Maidatul Quran adalah sebuah program televisyen yang mengajak penonton untuk mengimani, memahami, mengamalkan dan menyebarkan kalam Allah yang lahir daripada kolaborasi rapat TV AlHijrah dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). – AlHijrah Online/ Zamir Akmal Zambri

Leave a Reply