PETUGAS KKM GIAT JALANKAN SARINGAN COVID-19 DI MASJID SRI PETALING

Foto KKM

KUALA LUMPUR: Pasukan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini giat menjalankan saringan COVID-19 di Masjid Sri Petaling sejak dua hari lalu, setelah seorang peserta perhimpunan tabligh diadakan di masjid itu pada 28 Feb lalu, disahkan positif virus itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pasukan KKM mendapat kerjasama penuh daripada peserta, petugas dan pelajar yang terbabit.

“Pegawai kesihatan kami dari Lembah Pantai disokong petugas dari negeri lain untuk mengesan dan menjejaki semua peserta (perhimpunan tabligh).

“Ia sememangnya tugas yang besar dan menakutkan, namun kita perlulah bersedia berkongsi tanggungjawab kerana semua orang dapat membantu melindungi diri dan masyarakat,” katanya dalam catatan di laman sosial Facebook hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba semalam dilaporkan berkata, masjid terbabit akan ditutup buat sementara untuk kerja-kerja “disinfeksi” bagi membendung penularan wabak itu. — AlHijrah Online

Leave a Reply